Skip to main content

Bantu Aku Mencari Tuhan

“Aku nak tanya sikit, boleh?”

“Tanyalah.”

“Dulu kau sekolah agama ke?”

Aku mengangkat muka. Lensa mata yang sejak tadi tekun berlari di atas kepingan nota yang berselirat jalinan dakwat hitam dan merah beralih arah ke wajah Zara yang kelihatan berkerut 1000.

“Tak, kenapa?” soalan dijawab dan aku kepilkan sekali dengan sebuah pertanyaan.

Geleng.

Hanya itu jawapan yang aku terima.

“Betul tak ada apa-apa?” aku menguji.

Zara senyum. “Gaya kau macam budak sekolah agama.”

“Jauh panggang dari api,” jawabku sambil menggelengkan kepala.

“Aku serius ni. Sebelum ini aku fikir kau budak sekolah agama. Tengok cara kau berpakaian....”

“Hanya dengan melihat pakaian?” aku tergelak kecil. “Sis, pakaian bukan mencerminkan segala-galanya. Kau tahu itu kan?”

“Ya, aku tahu. Sebab itu hati aku ni terdetik nak bertanya. Tapi, tak kisahlah kan, kau pernah sekolah agama ke tidak dulu, yang penting kau tahu membawa diri sekarang.”

Aku senyum. “Zara, kau nak tahu sesuatu?”

Zara mengangkat kening. Kelihatan garisan kerutan lahir di dahinya.

“Aku sebenarnya cemburu dengan kau.”

“Eh, kenapa pula nak cemburu?” Zara menggaru kepala yang tidak gatal. Dia segera merapatkan tubuhnya dengan aku.

“Sebab kau berpeluang merasai keindahan Islam itu lebih awal daripada aku. Kau telah didedahkan dengan prinsip-prinsip yang perlu dipegang teguh oleh seorang Muslim lebih lama daripada aku. Dan, kau membesar dalam suasana tarbiyah, tidak seperti aku.”

Zara terdiam. Bibirnya bergerak-gerak tanpa suara. Mungkin sedang cuba menyusun kata agar nanti tidak membuat hati aku terluka.

“Err, tapi apa yang aku nampak, kau baik saja.”

“Itu apa yang kau nampak, yang kau tak nampak, macam mana?” jawabku sambil tersenyum bagi menutup getar hati yang seakan beremosi. Aku cepat menjadi sebak apabila membicarakan tentang ini. Air mata aku seakan murah bila membincangkan perkara ini. Allahu Robbi.

“Kau tak boleh fikir macam itu. Yang dah lepas biarkan lepas. Yang penting kau kena fikirkan masa depan kau sekarang. Cerahkan. Mantapkan! Bukan asyik berpaling ke belakang dan melemahkan tekad yang sedang kau bina!” nasihat Zara tegas.

“Ya, aku tahu itu,” jawabku lemah.

“So?”

Aku tidak faham. “So? Apa?”

“Hmm…kau ni. So, sekarang kau kena buktikan walaupun kau bukan pelajar lepasan sekolah agama, tapi, tak bermakna kau tak boleh menjadi seperti mereka yang berpendidikan agama. Faham?”

Diam.

“Ini masanya untuk kau kumpul sebanyak mana ilmu yang boleh. My dear sis, umur kita masih muda. Jadi, jangan kita bazirkan untuk sesuatu yang tidak berfaedah. Kita..” belum sempat Zara meneruskan nasihatnya, namanya dipanggil.

“Zara! Cik Mairah cari kau. Dia suruh kau jumpa dia dalam makmal sekarang.” Jerit Syeera dari jauh.
Zara memandang aku.

Aku senyum. “Pergilah.”

Aku menghantar Zara dengan pandangan mata hingga kelibatnya hilang di balik dinding konkrit berwarna putih. Aku menarik nafas dalam. Cuba membuang segala perasaan tidak enak yang riang menari dalam hati aku sejak tadi. Otak aku ligat memikirkan kata-kata hikmah untuk memujuk hati sendiri. Akal aku deras melontar idea sebagai azimat jiwa aku yang hampir lumat dihenyak kesilapan demi kesilapan yang sudah lama 
berlalu pergi..

Ya. Aku bukan pelajar sekolah agama. Aku juga bukan manusia yang tinggi ilmunya. Aku hanya insan biasa. Insan yang hanya mendapat pendidikan di sekolah harian biasa. Tidak pernah tinggal di asrama. Aku tidak pernah belajar bahasa arab secara formal. Kalau ada sekalipun, hanya ketika di sekolah rendah. Yang entah berapa patah perkataan sahaja yang masih aku ingat. Itupun hanya dua tahun aku merelakan diri aku ke sana. Sekolah Agama Rakyat. Selebihnya, aku lebih gemar menghabiskan masa di rumah. Puas emak memujuk. 

Puas ayah menyuruh. Namun, jawapanku tetap satu. TAK NAK SEKOLAH AGAMA!

Bukan tidak pernah dimarah. Bukan tidak pernah dirotan. Tapi, dinding hati aku terlalu keras sehingga marah dan rotan sekalipun masih tidak mampu meruntuhkan temboknya.

Namun, syukur Alhamdulillah. Semakin aku dewasa, semakin aku mengenal erti kehidupan, dan ketika itu, aku semakin mahu mencari CINTA TUHAN.

Setiap kali memandang wajah emak dan ayah yang sedang terlena, terdetik rasa kesian kepada mereka. Kesian… kerana mereka punya anak seperti aku. Yang bukan sedikit degilnya. Yang bukan kurang sifat keras kepalanya. Ya Allah, apa yang telah aku lakukan?

Satu hari.

Titt..titt.

1 message received

Saudari.
Dunia ini adalah perhiasan. Dan, seindah-indah hiasan adalah wanita solehah. Peliharalah auratmu wahai saudariku. Jadikanlah dirimu wanita idaman syurga. Peliharalah akhlakmu wahai saudara seakidahku. Biar bidadari syurga mencemburui dirimu.

Zupp! Bagai disambar halilintar. Mesej yang hingga kini aku tidak tahu siapa pengirimnya mencalit sedikit rasa insaf di hati. Mesej ini juga seakan bom jangka yang membantu membangunkan gergasi dalam diri. Mesej ini… bukan mesej kosong. Mesej ini… biarpun ringkas, tapi aku yakin pengirimnya berhati mulia.

Aku melangkah perlahan mendekati cermin besar yang bisa memantulkan keseluruhan diriku. Aku meneliti pantulan diriku sendiri. Atas ke bawah. Bawah ke atas. Aku tertunduk. Empangan mata mulai pecah. Esak tangis sudah tidak dapat ditahan.

Keesokannya, aku tergerak hati untuk berjemaah di masjid. Hatiku tenang. Jiwaku lapang. Damai dan tenteram. Sungguh, rasa itu tidak dapat diucap dengan kata-kata. Usai solat, ketika aku sedang melipat telekung, mataku tertumpu kepada sehelai kertas yang berada tidak jauh dari tempat aku berdiri. Entah mengapa, hati ini tergerak untuk mengambil dan membacanya.

Aurat Wanita

Tajuk yang seakan kena pada masanya. Subhanallah!

Tanpa berlengah, aku terus membaca satu persatu isinya. Hingga ke ayat ini ;

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka menyekat pandangan (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh kecuali yang zahir daripadanya. Hendaklah mereka menutup belahan leher baju dengan tudung kepala …” (Surah An-Nur ayat 31)

Hatiku tersentuh. Aku meneruskan pembacaan, hingga ke perenggan yang terakhir ;

“Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka menutupkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka, yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (Surah Al-ahzab ayat 59)

Sekali lagi airmata ku tumpah. Betapa selama ini aku tidak pernah sedar pesanan ini tertulis dalam Al-Quran. Betapa selama ini aku jahil tentang agama sendiri. Betapa… malunya diri aku di depan-MU Tuhan. Malu. Sungguh!

Lalu, dengan penuh kepayahan, aku bulatkan tekad. Aku MAHU BERUBAH!

Selang beberapa ketika, ketika aku sudah mula mengatur tapak menyelusuri denai hijrah, aku disapa lagi.

Titt..titt.

1 message received

Alhamdulillah, saya lihat saudari sudah mula berhijrah. Moga Allah kuatkan hati saudari untuk tetap istiqamah berjuang mempertahankan agama-Nya.

Aku tersenyum tatkala membaca mesej itu. Aku cuba untuk mencungkil identiti pengirim mesej tersebut, namun, semuanya hampa. Dia masih mahu menyembunyikan dirinya daripada pengetahuanku. Sehinggalah suatu hari….

“Assalamualaikum.”

Aku menoleh ke belakang.

“Wa’laikumusalam. Subhanallah! Ustazah…sudah lama tidak berjumpa,” jeritku sambil memeluk erat tubuh wanita solehah itu.

Ustazah Nazima senyum. “Dunia ini adalah perhiasan. Dan, seindah-indah hiasan adalah wanita solehah. Jadikanlah dirimu wanita idaman syurga dan biarkan bidadari syurga mencemburui dirimu.”

Allahu akbar! Aku hampir menangis.

“Ustazah orangnya?” soalku hampir tidak percaya.

Ustazah Nazima senyum. Dia mengangguk kepala.

“Terima kasih ustazah!” aku memeluk tubuhnya sekali lagi.

“Tak perlu berterima kasih kepada ustazah. Semua ini kehendak Allah, dan pilihan kamu sendiri,” jawab ustazah lembut.

Aku memandang wajahnya, mengharapkan sedikit penjelasan.

“Hidayah itu milik Allah dan dia berhak memberikannya kepada sesiapa yang DIA kehendaki. Dan kamu pula diberi pilihan untuk menggenggam hidayah itu atau melepaskan ia pergi.”

Aku diam. Benar kata ustazah. Allah berhak memberi hidayah kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki. Dan manusia pula, diberi pilihan untuk memilih yang benar mahupun yang batil. Bukankah itu salah satu fungsi akal yang DIA anugerahkan?

Kejahatan itu bukanlah satu kebetulan. Tetapi lahir daripada tabiat buruk yang sukar untuk dikikis dan ditinggalkan. Mana mungkin manusia boleh mengatakan “sudah takdir aku ini jadi jahat,” sedangkan dia tidak langsung berusaha melawan ‘kejahatan’ dan bisik ‘merdu’ syaitan? Sekali lagi, takdir itu atas kuasa Ar-Rahman, tapi dengan sifat Pengasih-Nya DIA memberi manusia pilihan. Justeru, akal itu jika disatukan dengan iman, nescaya manusia tidak akan tersasar dari jalan yang benar. InsyaAllah.

“Tapi bagaimana ustazah tahu….”

Ustazah memotong. “Bukankah daripada sekolah menengah lagi kamu suka bertanya ustazah bermacam-macam soalan keagamaan? Daripada seremeh-remeh perkara, hingga soalan yang kadang-kadang ustazah sendiri sukar untuk menerangkannya. Dan sejak itu, ustazah mulai sedar, yang kamu sebenarnya sedang mencari sesuatu. Mencari kebenaran atau yang paling tepat, kamu sedang mencari Tuhan, bukan?”

Aku senyum.

Sambung ustazah. “Allah tidak pernah jauh daripada hamba-hamba-NYA. Semakin kita cuba untuk mendekati-NYA, semakin dekatlah DIA dengan kita. DIA tidak pernah meninggalkan hamba-NYA yang melakukan dosa, malah sentiasa bersedia mendengar rintihan taubat hamba-hamba-NYA. Inikan pula jika kita sedang berusaha mendekatkan diri dengan DIA, insyaAllah, DIA akan membantu dan memudahkan jalan buat kita.”

Nasihat itu mendamaikan hati aku.

ALLAH ITU DEKAT DENGAN HAMBA-HAMBA-NYA

Aku memandang wajah manis ustazah.

Akhirnya Allah temukan aku dengan dia.

Dia yang cuba membantuku mencari Tuhan

Biar tanpa sedar

Biar tanpa bicara.

Dia tetap setia bersama aku.

Biar jarak memisahkan

Biar umur menjurangkan.

Dia tetap di situ, sedia membantu aku.

Allahmdulillah. Syukur Ya Allah. Terima kasih kerana mengirim cebisan hidayah-MU buatku melalui dia.


“Hello! Mengelamun nampak!” sergah Zara. Ketawanya terburai melihat aku yang hampir melompat disergah begitu.

“Terkejut, tahu?!” aku mengurut dada.

Zara masih ketawa. Dia menarik tanganku. “Jom makan. Aku lapar sangat ni.”

Aku senyum sambil menggeleng kepala. “Sekejap, aku kemas barang-barang aku dulu.”

“Ok.”

Selepas habis mengemas barang, kami sama-sama mengatur langkah menuju ke café yang terletak tidak jauh dari fakulti kami. Perut aku yang sudah mula menyanyi lagu keroncong sudah tidak sabar untuk diisi. Sejarah silam yang tadi berselirat dalam fikiran sudah mulai hilang dipuput angin petang.

Aku perlu terus melangkah ke depan dan meninggalkan segala debu hitam yang pernah menyinggah dalam lipatan sejarah aku semalam. Dan, hari esok, pastikan lebih gemilang dengan sinar ISLAM yang tak pernah kelam. Allahu akbar!







Comments

Popular posts from this blog

[Lirik : Warkah Cinta Berbau Syurga]

Sebuah jiwa terbentang seluas Sahara Tersimpan sejuta rasa cinta dan kecewa Setiap untai kata yang termaktub Sudah menjadi warkah cinta berbau syurga Simpanan batinku hampir terbelah Tidak berhimpun dua cinta dalam satu jiwa Antara iman dan nafsu aku berjuang Meraih mahkota cinta dari syurga Chorus: Biar beribu parut luka menghiris kalbu Hanya keikhlasan cinta menjadi penawar Sekalipun diriku terbuang di mata insan Engkau Maha mengerti kekalnya cinta ku ini Izinkan aku meniti diatas hamparan syurgamu Bila saat ku pergi biarlah cintaku tetap di situ [Selama-lamanya kelembutan   takkan pernah tewas dengan kekerasan] [Ulang Chorus] Cintaku ini... Lagu: Bazli Unic Lirik: Ustaz A.Ubaidillah Alias Studio Rakaman : Unic Terbitan: Al-Kahfi Pictures Sdn.Bhd. Entah kenapa Cik Cahaya suka sangat dengan lirik lagu ini..First time dengar terus jatuh cinta gituu..Lagu ni, pada Cik Cahaya mempunyai makna yang sanga

Bahagiakan Diri Dengan Kebahagiaan Orang Lain

Pernah terjadi tak, Ada satu masa, kita nak ceritakan masalah kita pada seseorang. Nak luahkan perasaan sedih kita. Nak menangis dan meminta nasihat dia. Tapi, belum sempat kita buka mulut, orang tersebut terlebih dahulu menceritakan masalah dia. Terlebih dahulu meluahkan perasaan sedih dan meminta kita menasihati dia. Pernah terjadi tak? Apa tindakan kita ketika itu? Terus meminjamkan telinga untuk mendengar masalah dia,walaupun ketika itu hati kita sendiri sedang terluka,  atau terus berkata "aku pun ada masalah!" dan membiarkan orang itu terus bersendirian menanggung kesedihan? #MUHASABAH# Ketika kita rasa kita lah yang paling sedih, paling terluka, paling lemah, paling sakit..saat itu ALLAH hadirkan orang lain kepada kita, agar kita sedar bahawa ada orang lain yang lebih sakit, lebih terluka, lebih lemah dan lebih sakit daripada kita. Ketika kita rasa kita lah yang paling susah, ALLAH temukan kita dengan orang lain yang lebih susah daripada kita. Mengapa? Kera

Duhai diri..

Bila engkau letih dan hilang semangat, ALLAH tahu engkau telah mencuba sedaya upaya. Bila tangismu berpanjangan dan hatimu duka,ALLAH telah mengira titis air matamu. Bila engkaurasa ketinggalan dan masa meninggalkanmu,ALLAH tetap bersamamu. Bila engkau kebuntuan akal,maka ALLAH adalah penunjuk jalan… Apabila engkau telah berazam, maka  bertawakallah kepada ALLAH…..