Skip to main content

DESTINASI HATI (part 3)



sambungan.....
“Aisyah..” Aisyah mendengar namanya dipanggil. Aisyah mencari-cari gerangan si pemanggil, namun hampa kerana wajah pemilik suara tersebut tidak berjaya ditemui. “Aisyah Humaira..” sekali lagi namanya dipanggil. Belum sempat dia menoleh, sudah ada tangan menyentuh lembut bahunya.
“MasyaAllah, Ain rupanya. Sudah lama kita tak jumpa kan? Ain buat apa di sini?” soal Aisyah hairan bercampur gembira. Hairan kerana Ain berada di sini. Gembira kerana telah dipertemukan kembali dengan sahabat yang banyak membantu penghijrahannya. Nurain Zinnirah. Satu nama yang cukup indah, seindah akhlak dan peribadi pemilik namanya.
“Ain ke Hospital Serdang tadi, melawat kakak Ain. Kebetulan sudah berada di sini, Ain datanglah untuk berjumpa Aisyah,” jawab Ain lembut.
“Kakak Ain di hospital? Sakit ke?” soal Aisyah sedikit bimbang. Mungkin kerana dia mengenali kakak Ain atau lebih mesra dengan panggilan kak Hani menyebabkan lahirnya jalur kerisauan di hatinya.
“Kak Hani baru selamat bersalin. Alhamdulillah, dapat anak lelaki,” jawab Ain ceria. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman kegembiraan.
“Alhamdulillah, akhirnya kak Hani dapat juga gelaran ibu,” kata-kata Aisyah disokong oleh Ain. Sudah hampir enam tahun kak Hani mendirikan rumahtangga, dan hampir-hampir dia merelakan suaminya berkahwin satu lagi gara-gara dia tidak dapat mengandung. Pelbagai altenatif diambil, daripada perubatan moden hinggalah perubatan kampung, kak Hani tidak jemu-jemu berusaha semata-mata ingin memberikan buah cinta buat suami tersayang. Alhamdulillah, akhirnya segala usaha yang ditabur sudah berhasil. Kini, dia sudah bergelar ibu. Aisyah sendiri dapat rasakan kegembiraan yang dirasai Ain, kak Hani dan suaminya.
“Aisyah bagaimana sekarang?” Ain mula menukar topik perbualan mereka. Aisyah mengangkat kening tanda tidak mengerti maksud pertanyaan Ain. “Bagaimana dengan iman dan amal?” soalnya berterus-terang. Aisyah tersenyum lagi mendengar pertanyaannya. Ain memang begini. Dia sentiasa mengambil berat keadaan Aisyah, walaupun mereka terpisah jauh.
“Wallahua’lam..” jawab Aisyah ringkas. Giliran Ain pula mengangkat kening. Mengembalikan soalan kepada Aisyah. “Entahlah Ain. Kadang-kadang Aisyah rasa hampir sangat dengan Dia, tapi kadang-kadang rasa jauh benar. Mungkin kerana iman Aisyah masih belum kukuh, asyik terumbang-ambing. Mudah benar goyah biarpun hanya disapa oleh angin yang lembut,” jawabnya lemah. Sejujurnya, memang itu yang dia rasai. Puas dia meneliti diri, hanya kekhilafan yang ditemui.
“Sabarlah, teruskan bermujahidah. InsyaAllah, Allah akan sentiasa membantu. Berdoa dan pohonlah pertolongan daripadaNya,” nasihat Ain sedikit sebanyak menyuburkan kembali hatinya yang hampir gersang. “Aisyah ada masalah lain? Ceritakan pada Ain, insyaAllah Ain akan cuba membantu,” sambung Ain lagi. Mungkin kerana melihat reaksi Aisyah yang sedikit berlainan daripada kebiasaan menyebabkan Ain mula dapat mengesan kegusaran yang bersarang di hati Aisyah.
“Aisyah tak ada apa-apalah. Mungkin kerana terlalu sibuk dengan aktiviti seharian. Mana dengan nak siapkan tugasan yang bertimbun, peperiksaan yang dah hampir, ditambah pula dengan pelbagai aktiviti kolej dan fakulti, itu yang menyebabkan Aisyah letih sedikit. Tapi Alhamdulillah, sekarang semuanya sudah selesai, cuma tinggal peperiksaan akhir sahaja” luah Aisyah.
“Itu semua ujian dunia. Aisyah kena banyak-banyak bersabar ya. Orang penting macam Aisyah ni memang sibuk memanjang. Tetapi kena ingat, sesibuk mana pun kita denga urusan dunia, jangan sesekali melupakan urusan akhirat. Tetapkan diri untuk berada di jalan dakwah dan tarbiah,” nasihat Ain yang sangat memahami kesibukkan Aisyah sebagai seorang exco persatuan di fakulti dan dalam masa yang sama dia juga memegang beberapa jawatan penting di kolej kediaman dan kelab universiti. Walau apapun, dia tidak mahu sahabatnya itu melupakan jalan dakwah yang sangat memerlukan seorang serikandi setegas dan secerdik Aisyah.
“InsyaAllah. Ain doakan Aisyah ya,”
“InsyaAllah. Ain akan sentiasa doakan sahabat Ain in,” kata Ain. Tangannya mengulas lembut jemari Aisyah.
“Ain nak tahu satu perkara? Dia dah berkahwin,” Aisyah memulakan topik lain sambil melemparkan senyum.
“Siapa?” Ain seperti tidak mengerti.
“Ikhwan yang pernah Aisyah ceritakan dulu. Dia berkahwin dengan Zara.”
“Alhamdulillah.. mereka membina masjid yang baik buat agama. Aisyah kecewa?”
“Pada mulanya ya. Tapi bila difikirkan semula, Aisyah tidak sedih malah gembira melihat kebahagiaan mereka berdua,” kata Aisyah jujur. Dia terbayang wajah gembira Zara seusai Fikri melafazkan akad. Titisan airmata kegembiraan yang mengalir di pipi gebu Zara sedikit-sebanyak menyejukkan hatinya yang resah gelisah. Kekecewaannya juga menghilang sedikit demi seedikit.
“Baguslah kalau itu yang Aisyah rasakan. Ain berdoa agar suatu hari nanti Aisyah juga akan mendapat seorang suami yang berada di jalan dakwah dan tarbiah, seperti Aisyah sekarang.”
“Siapalah Aisyah untuk mengimpikan seorang rijal yang soleh, sedangkan Aisyah sendiri belum layak digelar solehah,” luah Aisyah lagi.
“Aisyah, tak baik memandang rendah terhadap diri sendiri macam tu. Sesiapapun di dunia ini berhak mendapat pasangan yang terbaik. Ingat, Allah sudah mengatur segalanya,” nasihat Ain sambil menggenggam kemas tangan Aisyah. Pertemuan mereka petang itu berakhir di situ. Kata-kata terakhir Ain yang dititipkan buatnya sebelum beredar sangat menyentuh hati. ‘Aisyah yang Ain kasihi kerana Allah, ingatlah bahawa perjalanan kita sebagai khalifah di dunia ini penuh dengan godaan dan cabaran. Jangan biarkan hati itu sunyi tanpa cinta Allah, jangan biarkan jiwa itu gersang tanpa kerinduan kepada Allah, jangan biarkan nadimu bergerak tanpa ukiran indah nama Allah, jangan relakan mulutmu terkunci tanpa zikrullah. Penuhilah hatimu dengan cinta Ya Rabbul Izzati sebelum membenarkan ia disentuh oleh mana-mana muslimin yang belum pasti membawa bahagia kepadamu. Cinta Allah adalah sebenar-benar cinta.’


Duhai diri,
Mengapa kau begitu lemah?
Lemah melawan nafsu sendiri.
Mengapa kau terlalu mengikut kata hati,
Tanpa diiringi iman yang hakiki?
Duhai hati,
Mengapa kau biarkan tercemar dengan cinta duniawi?
Tidak takutkah balasan Illahi?
Tidak takutkah azab yang menanti?
Tidak gerunkah dengan neraka yang apinya menjulang tinggi?
Duhai diri,
Insaflah..bertaubatlah..
Jangan terlalu megah dengan kelebihan yang dimiliki,
Renungkan kembali asal kejadianmu,
Asalnya dari setitis air hina,
Ditiupkan roh oleh Pencipta,
Dipinjamkan nyawa untuk seketika,
Wajarkah kau bermegah dengan kelebihan yang dipinjamkan?
Wajarkah kau berlaku sombong dengan Pemilik segalanya?
Wajarkah kau gah berjalan di dunia sementara?
Kembalilah..
Duhai hati,
Hiasilah dengan ukiran indah nama Illahi,
Hiasilah taman dengan kalam Pencipta,
Suburkan dengan zikir kepadanya,
Segarkan dengan tarbiah pembina jiwa,
Padukan dengan dakwah ke jalan Yang Esa….
KEMBALILAH..kenalilah Penciptamu..Tuhan Yang Maha Agung..
Allahu akhbar!!



*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *         
Hakimi baru mendapat panggilan telefon daripada mamanya. Adiknya Putri Kristina mendapat tawaran belajar ke luar negara dalam bidang accounting. Hakimi bersyukur bagi pihak adiknya. Memang bidang itu yang diminati oleh Putri sejak di bangku sekolah menengah lagi. Papa adalah orang yang paling gembira. Mana kan tidak, Putri mempunyai minat yang sama seperti papa. Mungkin Putri yang bakal mewarisi pentadbiran syarikat milik keluarga mereka suatu hari nanti.
Dia? Dia tidak kisah itu semua. Dia tidak minat dalam bidang perniagaan. Bukan tidak pernah mencuba, sudah banyak kali dia berusaha memupuk minat dalam bidang itu, namun semuanya sia-sia. Papa pernah menghalangnya mengambil bidang kejuruteraan malah memaksanya mengambil bidang perniagaan dengan alasan ingin mewariskan syarikat Saujana Holdings kepadanya. Hampir sahaja mereka berbalah, tetapi syukur Alhamdulillah, mama telah berjaya melembutkan hati papa. Kini, papa dapat menerima kenyataan. Malah papa yang banyak memberi galakan kepadanya untuk terus menggapai kejayaan.
Dia melihat jam di penggelangan tangan. Sudah pukul 11.00 malam, namun  Ilham masih belum pulang. ‘Ke mana pula dia pergi agaknya.’ Komputer riba yang diletakkan di atas katil diambil. Sudah lama dia tidak melayari internet dan memeriksa emelnya. Kesibukkan menelaah pelajaran sebagai persediaan menghadapi peperiksaan akhir semester menyebabkan dia tidak sempat melakukan semua itu.
Banyak emel yang tidak di baca. Kebanyakkan adalah daripada sahabat-sahabat yang menuntut di luar negara. Walaupun sudah lama berpisah, namun ikatan persahabatan antara mereka masih utuh  seperti dulu. Ramai juga sahabat yang bertanya mengapa dia tidak mahu menyambung pelajaran ke luar negara sedangkan keputusan yang dia perolehi lebih baik daripada mereka, tetapi Hakimi hanya menjawab itu semua takdir Allah. Dia tidak kisah di mana pun dia menuntut ilmu, asalkan ilmu itu bermanfaat, maka dia akan teruskan. InsyaAllah.
Hakimi tersenyum apabila melihat emel yang dihantar oleh sepupunya, Fazril. Dia lantas membuka emel tersebut.
Assalamualaikum akhi Hakimi. Apa khabar akhi sekeluarga di sana? Ana harap sihat hendaknya. Bagaimana pula dengan pelajaran dan aktiviti dakwah yang akhi lakukan? Semoga semakin baik keadaannya. Amin..Sudah lama rasanya tidak bertemu dan bertukar-tukar cerita dengan akhi. InsyaAllah, bulan hadapan ana akan pulang ke tanah air. Tidak sabar rasnya ingin bertemu dengan akhi sekeluarga. Itu sahaja yang ana ingin khabarkan buat masa ini. Selamat menduduki peperiksaan akhir semester. Semoga segala perancangan dipermudahkan oleh Allah. InsyaAllah. Wassalam.
Dia membalas emel itu dengan segera. Tidak mahu membiarkan sepupunya ternanti-nanti. Ya, dia juga tidak sabar untuk bertemu pemilik nama Fazril Izerin Illiyin. Sepupu yang sudah dianggap seperti abang kandungnya sendiri. Perbezaan umur yang hanya tiga tahun menjadikan mereka rapat sejak kecil, membesar dan bermain bersama-sama.

“Bila besar nanti Kimi nak jadi apa?” soal Fazril. Tangannya memegang kemas buku cerita pemberian Pak Ngahnya, papa Hakimi.
“Nak jadi pilot. Boleh terbang ke merata-rata tempat. Seronok tau!” balas Hakimi sambil mendongakkan kepalanya ke langit. “Abang Fazril pula nak jadi apa?” Hakimi menyoal semula.
“Nak jadi doktor. Boleh rawat umi. Abang kesian tengok umi, hari-hari kena makan ubat. Kalau abang dah jadi doktor nanti, abang akan cuba sedaya upaya sembuhkan umi,” Fazril berkata penuh semangat. Kolam matanya mulai bertakung. Sedih mengenangkan umi yang telantar sakit di hospital disebabkan penyakit kanser otaknya yang semakin serius.
Hakimi memandang Fazril. Walaupun masih kecil, namun dia mengerti perasaan abang sepupunya itu. “Banyakkan bersabar ya. Papa cakap, orang yang banyak bersabar akan disayangi oleh Allah, rasul dan orang-orang sekeliling,” pujuk Hakimi. Dia tidak mahu melihat Fazril sedih begitu. Segaris senyuman terukir di bibir Fazril, hatinya termakan pujukan Hakimi.
“Assalamualaikum..” suara Ilham memberi salam menghentikan lamunan Hakimi. Dia cepat-cepat menyeka air matanya dengan tangan. Tidak mahu dikesan oleh Ilham. Nanti bermacam-macam soalan pula terpaksa dijawab.
“Waa’laikumusalam. Baru balik Ilham? Ke mana tadi?”
Library, ada discussion dengan Khawarizmi dan Taufiq,” jawab Ilham ringkas. Hakimi mengangguk-anggukkan kepala tanda mengerti. Dia kembali menatap skrin laptopnya. Malas mengganggu Ilham yang kelihatan penat setelah hampir seharian berkampung di library.
bersambung..^_^

Comments

Popular posts from this blog

[Lirik : Warkah Cinta Berbau Syurga]

Sebuah jiwa terbentang seluas Sahara Tersimpan sejuta rasa cinta dan kecewa Setiap untai kata yang termaktub Sudah menjadi warkah cinta berbau syurga Simpanan batinku hampir terbelah Tidak berhimpun dua cinta dalam satu jiwa Antara iman dan nafsu aku berjuang Meraih mahkota cinta dari syurga Chorus: Biar beribu parut luka menghiris kalbu Hanya keikhlasan cinta menjadi penawar Sekalipun diriku terbuang di mata insan Engkau Maha mengerti kekalnya cinta ku ini Izinkan aku meniti diatas hamparan syurgamu Bila saat ku pergi biarlah cintaku tetap di situ [Selama-lamanya kelembutan   takkan pernah tewas dengan kekerasan] [Ulang Chorus] Cintaku ini... Lagu: Bazli Unic Lirik: Ustaz A.Ubaidillah Alias Studio Rakaman : Unic Terbitan: Al-Kahfi Pictures Sdn.Bhd. Entah kenapa Cik Cahaya suka sangat dengan lirik lagu ini..First time dengar terus jatuh cinta gituu..Lagu ni, pada Cik Cahaya mempunyai makna yang sanga

Bahagiakan Diri Dengan Kebahagiaan Orang Lain

Pernah terjadi tak, Ada satu masa, kita nak ceritakan masalah kita pada seseorang. Nak luahkan perasaan sedih kita. Nak menangis dan meminta nasihat dia. Tapi, belum sempat kita buka mulut, orang tersebut terlebih dahulu menceritakan masalah dia. Terlebih dahulu meluahkan perasaan sedih dan meminta kita menasihati dia. Pernah terjadi tak? Apa tindakan kita ketika itu? Terus meminjamkan telinga untuk mendengar masalah dia,walaupun ketika itu hati kita sendiri sedang terluka,  atau terus berkata "aku pun ada masalah!" dan membiarkan orang itu terus bersendirian menanggung kesedihan? #MUHASABAH# Ketika kita rasa kita lah yang paling sedih, paling terluka, paling lemah, paling sakit..saat itu ALLAH hadirkan orang lain kepada kita, agar kita sedar bahawa ada orang lain yang lebih sakit, lebih terluka, lebih lemah dan lebih sakit daripada kita. Ketika kita rasa kita lah yang paling susah, ALLAH temukan kita dengan orang lain yang lebih susah daripada kita. Mengapa? Kera

Duhai diri..

Bila engkau letih dan hilang semangat, ALLAH tahu engkau telah mencuba sedaya upaya. Bila tangismu berpanjangan dan hatimu duka,ALLAH telah mengira titis air matamu. Bila engkaurasa ketinggalan dan masa meninggalkanmu,ALLAH tetap bersamamu. Bila engkau kebuntuan akal,maka ALLAH adalah penunjuk jalan… Apabila engkau telah berazam, maka  bertawakallah kepada ALLAH…..