Skip to main content

MASIH ADA KASIH…


Sofea sedang bersiap-siap untuk keluar. Baju t-shirt lengan panjang berwarna biru muda disarungkan ke tubuhnya. Rambutnya dikeringkan menggunakan pengering rambut. Kalau diikutkan hati, Sofea memang tidak suka menggunakan pengering rambut kerana akan merosakkan rambutnya yang ikal mayang itu. Namun, disebabakan dia sudah kesuntukkan masa, terpaksa juga dia menggunakan haba yang panas itu untuk mengeringkan rambut. Ini semua gara-gara dia terbasahkan rambutnya ketika mandi sebentar tadi.
Rambutnya yang berwarna hitam pekat itu disanggul ringkas. Dia lantas mengambil sehelai pashmina berwarna hitam untuk dililit di kepalanya bagi menutupi mahkota dirinya itu daripada dilihat lelaki yang bukan muhrimnya. Sedikit pelembab bibir dicalitkan dengan kemas di atas bibirnya yang comel itu. Setelah puas hati dengan penampilannya pada pagi itu, Sofea lantas mengambil barang-barangnya di atas katil. Kakinya dihayun menuruni tangga sambil senyuman yang tidak lekang terukir di bibir.
“Sofea nak ke mana pagi-pagi ni?” satu suara menegurnya daripada belakang.
“Nak ke tasik, ma,” jawab Sofea ringkas.
“Ke tasik lagi? Dengan siapa?” tanya Datin Nora lagi.
“Seorang je. Tapi mama jangan risau, anak mama ni pandai jaga diri. InsyaAllah,” kata Sofea sambil menghadiahkan senyuman buat mamanya yang tersayang. Dia tidak mahu mamanya menghalang dia keluar hari itu. Cukuplah sepanjang minggu dia sudah berhadapan dengan pesakit di hospital yang mempunyai pelbagai kerenah dan perangai. Itu tidak termasuk dikelilingi dengan bau ubat-ubatan sepanjang hari. Hari minggu begini biarlah dia habiskan dengan aktiviti yang diminatinya pula. Boleh juga dia menghilangkan tekanan kerja yang ditanggungnya sepanjang minggu. Kalau tidak, boleh jadi gila agaknya.
“Baiklah, tapi janji dengan mama jangan balik lewat. Nanti bising pula papa kamu tu,” nasihat Datin Nora.
Thanks ma. InsyaAllah, Sofea tak akan balik lewat. Sofea pergi dulu ya,”  kata Sofea. Dia sangat gembira kerana mama memahami kehendaknya. Nasib baik papa telah keluar awal pagi tadi, kalau tidak, jenuh dia kena bersoal jawab dengan papa.
Datin Nora hanya memerhati Sofea dari jauh. Sejujurnya dia risau dengan keadaan Sofea. Umurnya sudah hampir mencecah 30 tahun tetapi masih lagi sendirian. Tidak seperti teman-temannya yang lain. Kebanyakkannya sudah berkahwin, malah sudah ada yang beranak-pinak. Paling tidak pun mereka sudah mempunyai pasangan masing-masing. Tapi sebaliknya yang berlaku kepada anak gadisnya itu. Bukan dia tidak pernah bertanya, namun Sofea asyik mengelakkan diri apabila soalan itu ditujukan kepadanya. Berapa banyak pinangan dan lamaran ditolak mentah-mentah atas alasan masih belum bersedia. Dia sebagai ibu hanya mampu mendoakan agar suatu hari nanti pintu hati Sofea akan terbuka menerima kehadiran seorang lelaki sebagai teman hidupnya,
*          *          *          *          *          *          *          *          *          *         
Suasana di tepi tasik pada pagi ini sangat indah. Air tasik yang mengalir tenang membuahkan ketenangan di hati Sofea. Kuntuman-kuntuman teratai berwarna merah yang kembang mekar di atas air tasik bagaikan menari-nari keriangan menyambut kedatangan  para pengunjung yang datang ke kawasan itu. Pepohon rendang yang meliuk-lintuk ditiup angin menambah keindahan pemandangan yang bisa menghilangkan kepenatan sesiapa sahaja yang mengunjungi tempat itu. Sofea menarik nafas dalam-dalam. Dia ingin paru-parunya merasai kesegaran dan kebersihan udara yang jarang sekali dapat dihirup di kawasan kotaraya.
Sofea mula meninjau-ninjau kawasan yang sesuai untuk dia bersantai. Jika sebelum ini dia selalu memilih tempat yang berhampiran dengan taman permainan kanak-kanak, tetapi hari ini dia ingin merasai suasana yang lain pula. Sofea memilih untuk duduk di bawah sebatang pohon rendang yang betul-betul berhadapan dengan tasik. ‘Ya Allah, indahnya pemandangan di sini. Hebat sungguh ciptaanMu,’ getus hati Sofea. Dia sangat teruja dengan keindahan pemandangan yang terbentang di hadapannya itu.
Tanpa berlengah, Sofea terus mengeluarkan barang-barang yang dibawa daripada rumah tadi. Dia sudah tidak sabar untuk melepaskan ‘gian’ yang sudah lama dipendamkan. Setelah semua siap diatur, Sofea mula memcari sudut yang cantik untuk diabadikan sebagai hasil seninya nanti. Tangannya mula menari-nari melakar pemandangan yang menjadi pilihannya. Kanvas yang pada mulanya berwarna putih dan tidak bermaya bertukar wajah apabila dihiasi dengan gandingan-gandingan warna yang indah dan berwarna-warni.
Sofea sangat asyik dengan lukisannya itu tanpa menghiraukan keadaan di sekeliling. Dia mahu menyiapkan lukisan tersebut sebelum pulang ke rumah sebentar lagi. Dia tidak mahu lukisan itu terbengkalai begitu sahaja kerana selepas ini entah bila pula dia akan berpeluang mengunjungi taman itu semula. Jika dia dapat kembali sekalipun, belum tentu pemandangan pada waktu itu sama dengan pemandangan yang terbentang di hadapan matanya sekarang. Jadi mahu tidak mahu, lukisan itu harus disiapkan juga. Harus!
Mata Sofea terpandang kepada seorang gadis yang sedang menangis di tepi tasik. Kalau tidak silap, gadis itu sudah lama berada di situ, cuma Sofea sahaja yang tidak mengendahkan kehadiran gadis tersebut kerana terlalu sibuk dengan lukisannya itu. Sejak daripada tadi gadis itu asyik menangis dan menangis. Hendak menegur dan bertanya mengapa dia menangis, rasa segan pula kerana dia tidak mengenali gadis itu. Wajah pun tidak pernah lihat inikan pula namanya. Jadi dia mengambil keputusan untuk membiarkan sahaja gadis itu bersendirian.
*          *          *          *          *          *          *          *          *          *         
Usai mengerjakan solat zohor dan makan tengah hari, Sofea kembali ke tempat dia melukis. Sofea tersenyum puas kerana hanya tinggal sedikit sahaja lagi yang perlu dia lakukan untuk menyiapkan lukisannya itu. Dia mengalihkan pandangannya ke tempat gadis tadi berada. Manalah tahu kalau-kalau gadis itu masih di situ. Jangkaannya tepat, gadis manis itu masih di situ, masih lagi menangis seperti tadi, cuma esakkannya sedikit berkurang barangkali.
Tiba-tiba dia melihat seperti ada yang tidak kena. Ada dua orang lelaki menghampiri gadis itu lantas cuba melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya. Mata Sofea ligat memerhati sekeliling. Tiada orang yang perasan adegan itu melainkan dirinya. Dia mula cemas. Apa yang harus dilakukan? Menjerit meminta tolong? Tiada siapa di kawasan itu melainkan dia. Mahu membiarkan? Tegakah dia membiarkan kaum sejenisnya diperlakukan begitu? Akan tenangkah dia nanti? Konklusinya, dia yang harus bertindak!
Tanpa berlengah lagi, Sofea terus mencapai sepuntung kayu yang berada berhampiran dengannya. ‘Ya Allah, bantulah dan lindungilah aku,’ doa Sofea di dalam hati. Dengan lafaz bismillah dia mula mengatur langkah menuju ke arah gadis itu. Setibanya di tempat itu, Sofea menghayunkan kayu yang berada di dalam genggamannya sekuat hati dan ternyata hayunan itu terkena salah seorang daripada lelaki itu. Suasana menjadi gamat. Kawan lelaki itu mula bersedia untuk menyerang Sofea. Sofea sudah bersedia menghadapi serangan daripada lelaki itu. Semua jurus yang dipelajari semasa kelas taekwando dipraktikkan sebaiknya. Akhirnya kedua-dua lelaki itu melarikan diri. Mungkin tidak menyangka yang Sofea mampu berlawan dengan mereka barangkali.
Sofea mendekati gadis itu yang kelihatan dalam ketakutan. Dia memimpin gadis itu ke tempat dia melukis sebentar tadi. Dibiarkan gadis itu tenteram terlebih dahulu sebelum dia mula bertanya apa yang sudah berlegar-legar di fikirannya sejak tadi.
“Awak dah ok?” Sofea memulakan bicara. Dia melemparkan senyuman kepada gadis itu.
“Saya ok. Terima kasih sebab tolong saya tadi. Kalau awak tiada, entah apalah dah jadi pada saya,” jawab gadis itu sambil mengesat airmatanya menandakan tangisannya masih bersisa.
“Semua itu berlaku dengan kehendak Allah. Saya hanya lakukan apa yang saya mampu dengan izinNya,” ujar Sofea lembut. Dia tidak mahu gadis itu terhutang budi dengannya kerana ucapan terima kasih itu sepatutnya menjadi hak Allah, bukan dirinya. Dia hanya manusia biasa yang tidak dapat melakukan apa-apa sekalipun tanpa pertolongan Yang Esa. Gadis itu hanya tersenyum sayu.
“Siapa nama awak?” Sofea mula bertanya.
“Aliyana Suraya..tapi boleh panggil Sue sahaja. Awak?”
“Sofea Najihah, tapi kawan-kawan panggil Sofea. Emm..saya nampak awak sejak pagi tadi di tepi tasik tu, mengapa? Ada masalah?” soalnya lagi.
Gadis bernama Suraya itu hanya mendiamkan diri. Satu keluhan berat dikeluarkan tanda dia sedang menanggung satu ujian yang berat. Pandangan matanya dialihkan ke arah deretan pepohon rendang yang bergerak-gerak di tiup angin petang. Haruskah dia menceritakan masalahnya kepada Sofea yang baru dikenalinya dalam masa yang tidak sampai 5 minit itu?
“Saya hanya bertanya, tapi terpulang kepada Sue sama ada mahu bercerita atau tidak. Cuma kadang-kadang lebih baik kita berkongsi masalah dengan orang lain, supaya dapat mengurangkan tekanan yang kita hadapi. Mana tahu, orang yang menjadi pendengar itu boleh membantu serba sedikit menyelesaikan masalah kita,” ujar Sofea lembut. Dia tidak mahu Suraya bertambah tertekan dengan pertanyaannya sebentar tadi.
Suraya tersenyum. Benar apa yang diperkatakan oleh Sofea sebentar tadi. Kadang-kadang kita perlu berkongsi masalah dengan orang lain supaya kita berasa sedikit tenang. Kalau diikutkan, memang dia memerlukan seseorang untuk berkongsi masalah dengannya, tidak mampu dia menanggungnya seorang diri. Suraya mula berkira-kira untuk menceritakan apa yang jauh terpendam di dalam hatinya. Dia yakin Sofea merupakan seorang yang boleh dipercayai.
*          *          *          *          *          *          *          *          *          *
‘Itu maknanya Allah masih sayangkan Sue tau. Sekurang-kurangnya Sue dah tahu perangai dia yang sebenarnya sebelum Sue dan dia menjadi lebih serius. Allah itu Maha Mengetahui, selicik atau sehebat mana pun rancangan yang dia aturkan untuk menipu Sue, tapi akhirnya Allah telah menunjukkan kebenarannya terlebih dahulu, bukan? Pada Sofea, lebih baik menderita dan bersedih sekarang, sebelum terseksa pada masa akan datang. ’
Masih terngiang-ngiang lagi di telinga Suraya apa yang dicakapkan oleh Sofea pada petang tadi. Benar apa yang Sofea katakan. Yang penting sekarang dia perlu bangkit semula. Putus cinta bukan bermakna sudah berakhirnya sebuah kehidupan di dunia. Itu hanya sebagai salah satu proses untuk menjadikan dirinya lebih matang dan berhati-hati dalam memilih pasangan. ‘Kau tak boleh tunjukkan kelemahan kau Suraya. Kau masih boleh hidup tanpa dia. Jangan disebabkan lelaki durjana itu, kau korbankan diri kau sendiri. Kau tak perlu bazirkan air mata kau untuk menangisi kehilangan lelaki seperti dia. Cukuplah selama ini kau sia-siakan masa, tenaga dan wang semata-mata untuk menagih kasih daripada seorang lelaki buaya!’ getus hatinya. Ya, dia mesti bangkit semula!
“Mengelamun nampak,” satu suara menegurnya.
“Eh, angah. Mana ada mengelamun,” jawab Suraya.
“Iya la tu. Daripada tadi angah tengok Sue duduk seorang diri di sini. Dah tu pula, angah panggil pun tak menyahut. Tak mengelamun ke namanya tu?” seloroh angah.
Suraya hanya tersenyum. Malas rasanya untuk mencari alasan sebab dia pasti kalah dengan kata-kata angahnya itu.
“Ada problem ke?” angah mula mengorek cerita.
“Emm.. mana adalah angah. Angah ni kan, kalau nampak Sue termenung sikit mulalah kata Sue ada problem. Nak berangan sikit pun terbantut,” jawab Suraya sambil membuat mimik muka merajuk. Sebetulnya dia malu dengan angah. Sudah berapa kali angah menasihatinya supaya tidak mendekati Amir. Namun, dek buta kerana cinta, kata-kata nasihat angah langsung tidak diendahkan. Jika angah tahu apa yang berlaku pada dirinya sekarang, sudah pasti dia akan ditertawakan.
“Sue tipu angah kan? Angah dah tahu segala-galanya,”
“Tahu? Tahu apa?” tanya Suraya terkejut.
“Pasal Sue dan Amir.. dah berpisah,” angah memandang tepat ke arah Suraya. Dia ingin meminta kepastian daripada Sue sendiri. Jika benar apa yang didengari bahawa mereka berdua sudah berpisah, seribu kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Illahi kerana telah menyelamatkan adiknya itu daripada jerat cinta si buaya.
“Emm.. mana angah dapat cerita ni?”
“Itu tak penting. Yang penting sekarang, ya atau tidak?”
“Ya..” ada sedikit kegugupan di hati Suraya. Dia memandang wajah angah dengan pandangan sayu. Empangan matanya mulai penuh kembali, hanya menanti pecah dan melepaskan deraian airmata yang bakal mengalir laju melalui pipi gebunya.
“Sejujurnya angah gembira dengan berita ini, tapi bukan bermakna angah suka melihat Sue bersedih. Sue faham kan maksud angah?”
“Ya, Sue faham. Sue minta maaf kerana tidak mendengar nasihat angah sebelum ini. Sue menyesal sangat-sangat kerana lebih mempercayai orang lain berbanding abang kandung Sue sendiri. Sue minta maaf angah,” Suraya mula teresak-esak.
“Angah dah lama maafkan Sue. Yang penting Sue jangan ulangi kesilapan yang sama lagi ya. Yakinlah bahawa Allah telah menciptakan seseorang yang lebih baik daripada dia untuk adik angah ni,” nasihat angah sambil mengukir senyuman.
“InsyaAllah. Terima kasih angah,”
“Sama-sama,”
*          *          *          *          *          *          *          *          *          *         
Sedar tidak sedar sudah hampir lapan bulan Sofea berkawan baik dengan Suraya. Pantang ada masa yang terluang, pasti mereka akan keluar bersama-sama. Sofea tidak menyangka pertemuan lapan bulan yang lalu bakal menghasilkan sebuah ikatan persahabatan yang utuh seperti ini. Suraya juga telah banyak berubah. Dia sudah tidak lagi memakai pakaian yang menjolok mata, malah kepalanya juga sudah mula ditutupi kerudung. Sebagai seorang sahabat, Sofea sangat bersyukur dengan perubahan yang dilakukan oleh Suraya.
Bagi diri Suraya pula, dia berasa lebih tenang sekarang. Sesungguhnya setiap kejadian dan ujian itu ada hikmahnya yang tersendiri. Alhamdulillah. Jika dahulu Allah tidak mengujinya dengan sebuah perpisahan yang memeritkan, mungkin dia tidak seperti hari ini. Suraya bersyukur dipertemukan dengan sahabat sebaik Sofea. Sofealah antara insan yang banyak membantunya dalam membentuk Suraya yang baru.
Papa, mama, along dan angah pula bukan main seronok melihat perubahan satu-satunya puteri dalam keluarga mereka itu. “Manis bila Sue bertudung,” pujian ini yang keluar dari bibir along ketika dia mula-mula memakai tudung.  “Dah lama angah nantikan saat ini, akhirnya terbuka juga hati Sue, alhamdulillah,” kata-kata angah yang sangat menyentuh hati menguatkan lagi semangat Suraya untuk berubah. Papa dan mama pula tidak lekang dengan senyuman, kehabisan kata-kata barangkali. Kak Ros, isteri kepada along pula tidak habis-habis menunjukkan fesyen-fesyen tudung terkini yang boleh digayakan bersesuaian mengikut keadaan dan suasana. Suraya tergelak kecil apabila mengenang kembali semua peristiwa itu. Suraya sangat bersyukur kerana perubahannya mendapat respons positif daripada ahli keluarga yang lain.
Keluarga Suraya telah merancang untuk pergi bercuti ke Pulau Pangkor pada minggu hadapan. Suraya ingin sekali mengajak Sofea menyertai percutian mereka, mungkin percutiannya lebih bermakna dengan kehadiran insan yang banyak membantunya selama ini. Dia telah meminta keizinan daripada papa dan mama untuk membawa temannya itu, dan ternyata papa dan mama langsung tidak mempunyai bantahan. Lagipula, mereka boleh juga berkenalan dengan Sofea yang sering diceritakan oleh Suraya kepada mereka.
Suraya tahu Sofea pasti berat hati menerima tawarannya nanti, justeru, dia perlu memikirkan alasan yang kukuh untuk mengajak Sofea. Suraya amat berharap agar Sofea sudi mengikuti mereka, bukan sebagai temannya semata-mata, malah Suraya ada agenda lain yang ingin dilaksanakan. Agenda yang telah lama dirancang dan diatur iaitu untuk menemukan angah dan Sofea. Pada Suraya, Sofea adalah wanita yang paling sesuai dengan angah. Nak harapkan angah mencari pasangan sendiri, macam menanti bulan jatuh ke ribalah jawabnya. Angah terlalu sibuk dengan firma guaman miliknya yang baru dibuka tidak sampai tiga tahun itu. Jadi apalah salahnya dia mengambil peranan menjadi orang tengah, manalah tahu memang mereka ada jodoh. Semoga semuanya berjalan lancar. Sofea tersenyum sendiri.
*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *         
Kebiruan air laut yang terbentang luas di hadapan mata dan pepasir pantai yang memutih di bawah kakinya berjaya memukau hati Sofea. ‘Subhanallah, indahnya.’ Walaupun ini bukan pertama kali dia ke Pulau Pangkor, namun hati Sofea bagaikan terkena panahan keindahan alam bagaikan pertama kali melihatnya. Dia tersenyum lebar. Tangannya didepakan sambil menghirup dalam-dalam bayu laut yang segar itu.
Dia mengalihkan pandangannya ke arah Suraya yang kelihatan gembira bermain ombak dengan anak saudaranya, Balqis. Jauh di hujung sana pula kelihatan seorang jejaka sedang sibuk mengambil gambar pemandangan. Sesekali kelihatan lensa kemeranya dihalakan ke arah Sue dan Balqis. Walaupun masih kecil, namun kanak-kanak itu sangat pandai bergaya di hadapan kamera. Tercuit hati Sofea melihatnya.
‘Seronoknya kalau mempunyai keluarga dan anak sendiri,’ bisik hati kecilnya. Bukan dia tidak mahu berkeluarga, tapi entah mengapa hatinya masih belum terbuka untuk menerima kehadiran seorang lelaki bergelar suami. Dia sedar, dalam usia yang hampir menginjak angka 30 tahun, dia patut mempunyai keluarga sendiri. Bukan itu sahaja, sepatutnya dia sudah pun dapat memimpin tangan anaknya sendiri. Tetapi, sebaliknya yang berlaku. Ahh.. sudah lama dia buangkan jauh-jauh perasaan ingin mencintai dan dicintai seorang insan bernama lelaki. Luka di hatinya masih belum sembuh, bahkan meninggalkan parut yang dalam dan panjang.
Sampai di sini sahaja hubungan kita. Kita memang tak serasi dan saya tak sanggup nak meneruskan hubungan ini lagi. Tambahan pula, saya rasa saya dah jumpa orang lain yang lebih memahami saya dan dapat bersama saya dalam keadaan susah mahupun senang. Harap awak dapat lupakan saya. Zaqrul
Kelu lidah Sofea apabila menerima mesej tersebut lalu dibalasnya untuk mendapat sebuah kepastian.
Apa yang awak cakap ni? Jangan main-main dalam hal macam ni. Apa kesalahan yang telah saya buat sampai awak buat keputusan macam ni? Tolonglah berterus-terang dengan saya.
Ada sedikit nada merayu dalam mesej tersebut. Sungguh,Sofea betul-betul tidak tahu apa kesalahan yang telah dia lakukan sehingga Zaqrul tega memutuskan hubungan yang telah mereka bina sejak daripada bangku sekolah menengah itu.
Awak tak buat salah apa-apa, cuma saya sahaja yang telah bosan dengan awak. Dah, mulai sekarang jangan hubungi saya lagi. Faham?
Ya Allah, dugaan apakah ini? Inikah balasan yang dia beri pada aku yang selama ini setia mempertahankan hubungan kami? Baru sahaja beberapa minggu yang lepas dia melamar aku untuk menjadi isterinya, tapi hari ini secara tiba-tiba dia sendiri telah meruntuhkan hubungan yang telah hampir 7 tahun dibina atas dasar suka sama suka. Luluh hatiku, pilu jiwaku bila diperlakukan begini. Berhari-hari aku berendam air mata kekecewaan. Sungguh tega dirimu !
Tapi itu kisah beberapa tahun yang dulu. Sewaktu aku masih mentah menilai erti sebuah cinta. Sekarang aku telah bangun, bangun daripada sebuah lena yang panjang. Tapi bila aku sudah dapat bangkit semula, insan yang telah meremukkan hati minta memulihkan hubungan kami kembali. Tidak bahagia dengan insan yang baru dikenali katanya. Ahh, aku bukan sebodoh itu untuk kau permainkan. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil, kini kau rasakan apa yang pernah aku rasa suatu ketika dulu. Aku takkan biarkan hati dan perasaan aku dipermainkan sekali lagi, cukuplah hanya sekali aku disakiti. Tidak akan aku biarkan pisang berbuah dua kali! Aku sudah gembira dengan kehidupan sekarang. Lebih-lebih lagi aku dapat menjadikan kekecewaan aku yang dulu sebagai pengajaran untuk membantu insan-insan senasib denganku. Kini, aku dan Suraya sudah dapat buktikan bahawa kami bukan selemah yang mereka sangka. Tidak perlu lagi membazirkan airmata untuk cinta manusia, kerana airmata itu selayaknya menjadi milik Allah. Airmata kekesalan, airmata keinsafan, lebih indah dan bermakna di sisi Illahi.
“Sofea, kenapa termenung ni? Tak seronok ke bercuti di sini?”  teguran Sue telah mematikan lamunannya.
“Eh, Sue.. terkejut Sofea. Apa yang Sue tanya tadi?” soal Sofea kembali tanda dia memang asyik berkhayal sejak tadi.
“Sue tanya, Sofea tak seronok ke bercuti di sini?” soal Suraya semula.
“Sue ni, mestilah seronok. Lebih-lebih lagi dapat tengok pemandangan yang cantik macam ni, tak sabar nak lukis atas kanvas tau. Rugi rasanya kalau Sofea tolak pelawaan Sue dulu,” jawab Sofea jujur sambil mengenyitkan matanya. Dia baru perasan kehadiran jejaka yang dipanggil angah itu di sebelah Suraya. Jejaka itu hanya tersenyum melihat keletah Sofea. ‘Aduh, malunya aku,’ desis hatinya.
“Itulah sebabnya Sue bersungguh-sungguh ajak Sofea. Hmm.. lupa plak nak kenalkan tadi. Sofea..Sue nak kenalkan ni angah Sue, namanya Harith Syakirin. Tapi boleh panggil Syakirin je. Angah.. kenalkan ni Sofea, kawan yang selalu Sue cerita pada angah tu,” Suraya mula memainkan peranannya.
Sofea dan Syakirin hanya berbalas senyuman. Suasana sunyi seketika. Ada debar di hati Sofea, begitu juga Syakirin. Suraya seperti dapat membaca hati Sofea dan angahnya itu. “Hai, kenapa senyap je ni? Kalau ya pun jantung tengah berdegup kencang, cover la sikit,” usik Suraya sambil menghamburkan ketawa. Muka Sofea mula merah padam, malu diusik begitu. Syakirin hanya tetap tersenyum seperti tadi. Aduhai..
“Kenapa semua orang tak pedulikan Qis ni? Qis tengah lapar ni tau,” kata-kata si cilik Balqis yang separa merajuk itu telah menyedarkan mereka tentang kehadirannya di situ.
“Ala, kesiannya anak saudara Mak Su ni. Lapar ya, jom kita pergi makan. Kita ajak Pak Ngah dan bakal Mak Ngah sekali ya,” usik Suraya lagi. Sengaja ditekankan perkataan bakal Mak Ngah itu untuk menduga hati Sofea. Sofea membulatkan matanya ke arah Suraya tanda dia tidak suka diusik begitu. Suraya buat-buat tidak tahu dan dengan selamba menghanyunkan kakinya ke arah café tanpa menghiraukan Sofea dan angah.
Sofea mula kaget. Segan pula dia mahu duduk berdua dengan Syakirin di situ. Lalu dia turut mengatur langkah mengikut Suraya ke café. Syakirin hanya tersenyum melihat reaksi Sofea. Dia dapat merasakan bahawa ada kelainan pada gadis itu. Ahh.. perasaan apakah ini. Adakah aku sudah mula jatuh cinta? Syakirin cepat-cepat beristighfar. Takkan mudah benar dia akan jatuh cinta walhal ini pertama kali mereka bersua. ‘Ya Allah, berilah petunjuk-Mu kepadaku.’
*          *          *          *          *          *          *          *          *         
Hari ini masuk hari ketiga mereka di Pulau Pangkor dan petang ini mereka semua akan berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Sofea masih lagi leka dengan lukisannya itu. Jika orang lain sibuk membeli cenderahati untuk di bawa pulang, Sofea lebih gemar menghabiskan masa bersama berus, warna dan kanvas miliknya. Ya, lukisan itu akan menjadi cenderahati terbaik yang akan diberikan kepada mama kerana hasil seninya lebih berharga daripada barang-barang yang dijual di situ. Lukisan ini adalah lukisan ketiga yang berjaya dihasilkan. Satu akan diberikan kepada keluarga Suraya sebagai penghargaan terhadap layanan baik mereka semua sepanjang percutian di sini, satu lagi akan dihadiahkan kepada mama dan yang terakhir adalah untuk simpanan peribadinya. Sofea tersenyum puas apabila ketiga-tiga lukisannya telahpun berjaya disiapkan. Alhamdulillah.
“Cantik lukisan tu,” suatu suara menegur Sofea dari belakang. Sofea memusingkan badannya ke arah suara itu. Ternyata Syakirin sedang berdiri tegak di belakangnya sambil memegang satu beg plastik berwarna ungu.
“Hmm.. terima kasih. Secantik mana pun lukisan ni, cantik lagi alam ciptaan-Nya, kan?” balas Sofea lembut.
Exactly true,” jawab Syakirin sambil mengukir senyum. Ada sedikit getar di hatinya apabila berbicara dengan gadis itu. Sepanjang tiga hari berada di sini, dia memang jarang benar berbual dengan Sofea. Pada pemerhatiannya, Sofea lebih banyak menghabiskan masa melukis di tepi pantai daripada mengikut mereka semua bersiar-siar. Gadis ini memang unik. Syakirin lantas menghulurkan beg plastik yang dipegangnya sejak tadi kepada Sofea. Ada perubahan di wajah Sofea apabila bungkusan itu dihulurkan kepadanya.
“Apa ni?” soal Sofea.
“Sedikit cenderahati untuk awak, bukalah,” balas Syakirin.
“Gambar saya?” ada sedikit nada terkejut dalam pertanyaan Sofea. Mana tidaknya, ada beberapa keping gambarnya yang sudah siap dicuci di dalam beg kertas itu. Semuanya berlatar-belakangkan pantai dan ketika dia sedang khusyuk melukis. Gambar itu sangat cantik. ‘Pandai dia ni ambil gambar,’ bisik hatinya.
“Ya. Saya rasa tak elok kalau saya simpan gambar-gambar tu. Jadi saya berikan pada awak. Maaf ya sebab ambil gambar awak tanpa kebenaran,”
“Tidak mengapa,” kata Sofea sambil menghadiahkan senyuman buat Syakirin.
Mereka lantas melanjutkan perbualan mereka. Bermacam-macam topik yang mereka bualkan, daripada kisah pemandangan, kisah percutian, pekerjaan masing-masing, hingga terbawa-bawa kepada cerita semasa di alam pengajian. Seronok benar mereka bertukar-tukar cerita hingga tidak perasan ada mata yang sedang mengintai dari jauh.
‘Amboi, dah mesra nampaknya mereka berdua tu. Apalah yang dibualkan sampai terkekeh-kekeh ketawa,’ Suraya bermonolog sendiri. Sejak tadi dia memerhatikan Sofea dan angah, jelas nampak kemesraan antara mereka. Suraya hanya tersenyum, mungkin kerana segala perancangan yang diaturnya berjalan dengan lancar.
*          *          *          *          *          *          *          *          *          *
4 Bulan Kemudian….
“Apa? Sofea nak bertunang?” soal Suraya terkejut.
“Ya,” balas Sofea sambil tersenyum.
“Bila? Dengan siapa? Bila pula Sofea bercinta ni? Tup-tup dah nak bertunang,” bertubi-tubi soalan keluar dari bibir Suraya.
“InsyaAllah hujung minggu ni,” jawab Sofea tenang. Hampir terhambur tawanya melihat reaksi Suraya yang sangat terkejut itu.
“Orangnya?” tanya Suraya tidak sabar. “Cepatlah bagitahu, janganlah buat Sue tertanya-tanya macam ni,” desak Suraya lagi.
“Sabar. Sebentar lagi orangnya akan muncul,” jawab Sofea selamba. Sengaja dibiarkan Suraya tertanya-tanya.
“Assalamualaikum, maaf saya terlambat,” terdengar satu suara datang dari arah belakang.
“Tidak mengapa, kami pun baru je sampai,” kata Sofea sambil mempelawa pemilik suara tersebut duduk di hadapannya. ‘Kalau duduk di hadapan Sofea, maknanya di sebelah aku. Ish..Sofea ni, ada pula suruh bakal tunang dia duduk sebelah aku,’ detik hati Suraya. Mukanya pantas dihalakan ke arah pemilik suara itu. Suraya terkejut bukan kepalang apabilka matanya bertentangan dengan mata si jejaka.
“Angah?!” hampir menjerit Suraya apabila melihat gerangan si jejaka yang telah berjaya mencuri hati teman baiknya itu.
“Kenapa, tak percaya?” seloroh angah. Sofea hanya ketawa kecil melihat reaksi Suraya yang sangat  lucu itu. “Kalau ya pun terkejut, janganlah menjerit sampai gegar satu café ni,” usik angah lagi.
Suraya hanya ketawa mendengar usikan itu. Sungguh, dia memang tidak percaya apa yang sedang berlaku sekarang. Lebih-lebih lagi Sofea mahupun angah tidak pernah bercerita tentang hubungan mereka selama ini.
“Jadi inilah bakal tunang Sofea ya?” sengaja dia bertanyakan soalan yang dia sendiri sudah pasti akan jawapannya. Sofea hanya mengangguk-anggukan kepala. “Hmm.. boleh tahan juga orangnya, memang cocok sih dengan kamu,” giliran Suraya pula mengusik pasangan di hadapannya ini. Sofea hanya tertunduk malu.
“Dah cukup, jangan mengusik dah. Kesian bakal tunang angah, dah merah dah muka dia tu,” celah angah cuba mempertahankan Sofea.
“Sekarang Sue dah tak boleh buli Sofea lagi sebab dah ada orang akan back-up Sofea tau,” Sofea mula bersuara.
“Ok, nampaknya sekarang giliran Sue pula kena cari orang yang boleh pertahankan Sue macam angah pertahankan Sofea kan?” meledak ketawa mereka semua mendengar kata-kata  Suraya itu. Mereka terus berbual sambil bergelak-tawa kegembiraan. Sungguh, Suraya sangat bersyukur apabila mendapat tahu angahnya bertemu jodoh dengan kawan baiknya sendiri. Dia sangat gembira bagi pihak angah. Sekurang-kurangnya angah tidak lagi sendirian selepas ini, dan begitu juga dengan Sofea. Dia? Dia masih menanti sorang insan yang dapat menyayanginya dengan ikhlas. Dia yakin, saat itu akan tiba jua nanti dan dia juga bakal merasai kegembiraan yang sedang dikecapi oleh angah dan Sofea sekarang. InsyaAllah.
" Cinta seringkali akan lari bila kita mencari, tetapi cinta
jua seringkali dibiarkan pergi bila ia menghampiri"


Comments

Popular posts from this blog

[Lirik : Warkah Cinta Berbau Syurga]

Sebuah jiwa terbentang seluas Sahara Tersimpan sejuta rasa cinta dan kecewa Setiap untai kata yang termaktub Sudah menjadi warkah cinta berbau syurga Simpanan batinku hampir terbelah Tidak berhimpun dua cinta dalam satu jiwa Antara iman dan nafsu aku berjuang Meraih mahkota cinta dari syurga Chorus: Biar beribu parut luka menghiris kalbu Hanya keikhlasan cinta menjadi penawar Sekalipun diriku terbuang di mata insan Engkau Maha mengerti kekalnya cinta ku ini Izinkan aku meniti diatas hamparan syurgamu Bila saat ku pergi biarlah cintaku tetap di situ [Selama-lamanya kelembutan   takkan pernah tewas dengan kekerasan] [Ulang Chorus] Cintaku ini... Lagu: Bazli Unic Lirik: Ustaz A.Ubaidillah Alias Studio Rakaman : Unic Terbitan: Al-Kahfi Pictures Sdn.Bhd. Entah kenapa Cik Cahaya suka sangat dengan lirik lagu ini..First time dengar terus jatuh cinta gituu..Lagu ni, pada Cik Cahaya mempunyai makna yang sanga

Bahagiakan Diri Dengan Kebahagiaan Orang Lain

Pernah terjadi tak, Ada satu masa, kita nak ceritakan masalah kita pada seseorang. Nak luahkan perasaan sedih kita. Nak menangis dan meminta nasihat dia. Tapi, belum sempat kita buka mulut, orang tersebut terlebih dahulu menceritakan masalah dia. Terlebih dahulu meluahkan perasaan sedih dan meminta kita menasihati dia. Pernah terjadi tak? Apa tindakan kita ketika itu? Terus meminjamkan telinga untuk mendengar masalah dia,walaupun ketika itu hati kita sendiri sedang terluka,  atau terus berkata "aku pun ada masalah!" dan membiarkan orang itu terus bersendirian menanggung kesedihan? #MUHASABAH# Ketika kita rasa kita lah yang paling sedih, paling terluka, paling lemah, paling sakit..saat itu ALLAH hadirkan orang lain kepada kita, agar kita sedar bahawa ada orang lain yang lebih sakit, lebih terluka, lebih lemah dan lebih sakit daripada kita. Ketika kita rasa kita lah yang paling susah, ALLAH temukan kita dengan orang lain yang lebih susah daripada kita. Mengapa? Kera

CINTA FIRST CLASS!!

Assalamualaikum.. Ok, kali ni tetiba rasa nak tulis pasal Cinta.. Haha..Cinta?? Iyalah,sekarang ni kan ramai orang suka berbicara tentang cinta.. Itu cinta..ini cinta..cinta sana..cinta sini.. Tengok cerita kat tv ke..dengar lagu kat radio ke..hatta iklan sekalipun, semuanya tak lari dengan cintan cintun ni.. So, saya pun tak nak terkecuali.. Salah ke nak cakap pasal cinta?? Tentulah tak salah..siapa yang kata salah?? Tetapi..kena fikir balik..mungkin ‘cara’ tu yang tak berapa kena. Cara kita bercakap tentang cinta itu bagaimana? Cara kita mempamerkan cinta bagaimana? Cara kita promosi cinta itu pula bagaimana? Dan..jangan lupa, kita kena fikir juga..cinta jenis apa yang kita cakapkan tu?? Jadi sekarang, apa kata kita bicarakan tentang CINTA FIRST CLASS..?? Ya, CINTA FIRST CLASS!! Jangan ingat hotel je ada class2 ni, cinta pun ada tau.. Bila dah kata first class ni, mestilah cinta yang ada ummph kan? cinta yang memang tak ada kekurang