Skip to main content

Deru Angin Kota Beijing


Pemandangan dari bawah..sebelum memulakan perjalanan menaiki tangga Greatwall..

Jam baru menunjukkan pukul 6.00 pagi, namun, rata-rata penduduk sekitar telah mula keluar untuk memulakan kehidupan harian mereka. Jika di Malaysia, 6.00 pagi adalah waktu untuk menunaikan solat subuh, namun berbeza sekali dengan keadaan di Kota Beijing di mana waktu subuhnya masuk pada pukul 3.06 pagi lagi. Pada mulanya memang agak sukar untuk menyesuaikan diri dalam keadaan begini, namun lama-kelamaan Muiz sudah terbiasa.
Muiz mengerling ke arah sahabatnya, Aizat, yang masih nyenyak tidur. Keletihan barangkali, mana tidaknya, seharian mereka berjalan semalam menjelajah Summer Palace atau dalam Bahasa Melayunya lebih dikenali dengan nama Istana Musim Panas. Hari ini, Muiz dan Aizat bercadang untuk ke destinasi lain pula. Destinasi yang amat dinanti-nantikan oleh mereka berdua, tidak lain dan tidak bukan adalah Tembok Besar China yang turut disenaraikan antara tujuh keajaiban dunia.
“Zat, cepatlah bangun. Semalam bukan main semangat lagi kau nak ke Greatwall . Tup..tup.. hari ini kau yang lewat bangun. Apa la..,” bebel Muiz sambil tangannya menggoncang-goncang tubuh temannya itu.
“Ala.. sekejaplah. Aku tengah mengantuk sangat ni. Tengok ni, nak buka mata pun tak larat tau,” dalih Aizat.
“Banyak pula alasan kau ya. Dah-dah, cepat bangun, nanti aku tinggalkan kau kat hotel ni sendirian baru kau tahu,” desak Muiz sengaja.
“Sampai hati kau nak tinggalkan aku ya Muiz. Kesian aku, dahlah sebatang kara di sini. Ada kawan pun, nak tinggalkan aku juga,” Aizat mula memancing hati temannya itu dengan kata-kata simpati. Sejujurnya, dia memang benar-benar penat. Selesai solat subuh tadi, dia terus merebahkan dirinya semula di atas katil. Tidak mampu rasanya dia menahan rasa mengantuk yang teramat sangat. Dia sendiri tidak pasti mengapa hanya dia sahaja yang kelihatan sangat penat, tetapi sebaliknya yang berlaku pada Muiz yang kelihatan segar-bugar sahaja pada pagi ini.
“Eleh, aku tak termakanlah dengan kata-kata kau tadi. Cepat siap, kan kita dah berjanji dengan Mr. Chong nak jumpa dia pukul 7.00 nanti. Kalau kita tak berjanji dengan sesiapa, aku tak kisah kalau nak pergi lambat pun,”
“Oklah, aku kalah. Aku nak pergi mandi lah ni,” kata Aizat sambil berlalu ke bilik air. Muiz hanya tersenyum ke arah temannya itu. Dia memang faham benar perangai Aizat yang memang liat untuk bangun daripada tidur, tetapi mujurlah subuhnya sentiasa terjaga. Kalau tidak, parah juga jadinya.
*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *
“Wah, memang panjang betul Greatwall ni kan Muiz. Aku rasa pintu masuk untuk pelancong macam kita ni jauh lagi, tetapi dari sini kita dah nampak dah temboknya. Kagum batul aku,” kata Aizat sambil tangannya sibuk merakam pemandangan sepanjang perjalanan mereka. Mr. Chong yang duduk di sebelah pemandu berpaling ke belakang sambil tersenyum ke arah mereka. Mungkin kata-kata yang baru keluar dari mulut Aizat itu agak lucu pada pendengaran Mr. Chong.
“Betul tu, ni yang buat aku tak sabar-sabar nak tiba di sana. Hmm.. kagum tu kagum jugak Aizat, tapi jangan lupa bahawa tembok ini tidak akan wujud kalau tidak diizinkan oleh Allah,” balas Muiz ringkas. Dia juga sibuk mengambil gambar binaan dan bukit-bukau yang indah menghiasi kiri dan kanan jalan yang mereka lalui.
“Aku setuju sangat dengan apa yang kau cakap tadi. Jika tembok batu yang dibina oleh manusia ini sudah mengagumkan, apatah lagi ciptaan Allah Yang Maha Hebat. Cuma, kita sebagai manusia yang kadang-kadang terlupa tentang itu. Ada sesetengah tu, terlalu kagum dengan orang yang mencetuskan idea membina sesuatu yang hebat sehingga dipujinya orang tersebut secara berlebih-lebihan, sedangkan pujian itu seharusnya menjadi milik Allah, kerana Allah yang memberi ilham kepada si mengeluar idea itu,” terang Aizat panjang lebar.
Muiz mengangguk-anggukkan kepala mendengar apa yang diperkatakan oleh sahabatnya sebentar tadi. “Itulah salah satu kelemahan kita sebagai manusia, terlebih taksub dengan kehebatan manusia sampai melupakan sebenar-benar Pencipta. Nauzubillah..semoga kita bukan dalam golongan yang sebegitu. Seperti yang telah termaktub dalam Surah Al-Baqarah ayat 284 yang bermaksud : kepunyaan ALLAH-lah segala apa yang ada di langit dan di bumi. Jadi kita sebagai manusia tak perlu berlebih-lebihan memuji sesama makhluk. Pujilah sekadar sahaja, betul tak Aizat?”
Greatwall Jun 2007
“Sudah semestinya betul sahabatku.. firman Allah dalam surah al-Hashr ayat 24 : Dia iaitu Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk daripada tiada kepada ada; Dia Yang Membentuk rupa makhluk-makhlukNya menurut seperti yang dikehendakiNya..,” meluncur laju sahaja ayat itu keluar dari bibir Aizat. Mereka berdua berpandangan dan senyuman kelihatan terukir di bibir masing-masing. Tidak sia-sia mereka menghabiskan masa cuti semester sepanjang pengajian mereka dahulu untuk pergi menuntut ilmu di Madrasah An-Nur, buktinya kini, mereka sudah mampu menilai dan mengaitkan setiap inci kehidupan mereka dengan keAgungan dan keEsaan Allah.. Alhamdulillah..
Setengah jam berlalu selepas perbualan sebentar tadi. Keadaan di dalam kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki sunyi sepi. Jarak perjalanan sejauh lebih kurang 86 km dari hotel penginapan mereka tidak begitu dirasai kerana masing-masing sedang leka memerhati keindahan alam ciptaan Allah. Cuma sesekali terdengar suara Mr. Chong memberi sedikit penerangan mengenai binaan Tembok Besar China yang telah dibina berdekad lamanya itu.
“Kalau kamu berdua nak tahu, panjang tembok ini adalah lebih kurang 6700km, maknanya ia bermula dari bahagian hujung timur dan berakhir di bahagian hujung barat. Tembok ini telah mula dibina semasa abad ke-7 sebelum masihi lagi iaitu semasa zaman Confucious. Tujuan tembok ini dibina adalah untuk menghalang pihak musuh daripada masuk ke kawasan mereka,” terang Mr. Chong panjang lebar. Walaupun berbangsa Cina, namun Mr. Chong sangat fasih bertutur dalam bahasa Melayu kerana dia pernah menetap lama di Malaysia suatu ketika dahulu. Tetapi, selepas mendirikan rumahtangga, dia dan isterinya telah mengambil keputusan untuk kembali ke Tanah Besar China dan menetap di sini.
“Lambat lagi ke kita nak sampai Mr. Chong?” soal Aizat seperti tidak sabar.
“Sebentar sahaja lagi, lebih kurang dalam 10 minit,”
“Ish, kau ni betul-betul tak sabar nampaknya,” celah Muiz.
“Aku tanya je lah..hihi..,”
*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *
“Alhamdulillah, akhirnya sampai juga kita di sini,” kata Muiz.
“Wow.. aku memang tak sangkalah Greatwall dah ada depan mata aku sekarang. Macam dalam mimpi je rasanya. Apa lagi yang ditunggu Muiz, jomlah kita naik ke atas tu, aku dah tak sabar ni,”
“Kalau ya pun tak sabar, janganlah berperangai macam budak-budak. Buat malu je,” kata Muiz sambil terkekeh-kekeh ketawa melihat perangai Aizat yang agak kebudak-budakkan itu. “Dah layak jadi bapa budak, tapi perangai.. masyaAllah..sabar sahajalah,” sambungnya lagi. Aizat hanya buat-buat tidak dengar apa yang dicakapkan oleh Muiz. Dia arif benar dengan perangai Muiz yang memang suka mengenakannya. Pantang ada peluang, mesti dia akan dikenakan.
Mereka mula mengayun langkah kaki mereka menaiki anak tangga Tembok Besar itu. Satu-persatu anak tangga yang kecil itu meraka langkahi, sedikit demi sedikit kedinginan hembusan sang angin mereka rasai, titik-titik peluh mula merenik di dahi masing-masing menandakan angin bukit yang bertiup tidak mampu menahan bahangnya terik mentari.
Aizat sudah jauh meninggalkan Muiz di belakang. Seronok benar gamaknya dapat mengunjungi tempat bersejarah itu.  Peluang yang mungkin hanya sekali sahaja seumur hidup ini tidak mungkin akan disia-siakan oleh Aizat. Dia sudah sampai ke perhentian yang kedua, tetapi bayang Muiz masih belum kelihatan. Sementara menanti sahabatnya itu, Aizat mengambil kesempatan merakam gambarnya sendiri berlatar-belakangkan Tembok Besar China.
Tiba-tiba matanya tertacap kepada satu pasangan suami isteri yang sedang berjalan naik ke atas. Si suami dengan sabar memimpin tangan si isteri yang kelihatan sudah kepenatan. Daripada segi fizikal dan iras wajah, si isteri kelihatan seperti orang Melayu. Cuma tidak tahu sama ada orang Melayu dari Malaysia, Indonesia ataupun dari Singapura. Berlainan pula dengan si suami yang memang berbangsa Cina. ‘Romantik betul pasangan itu,’ bisik hati kecil Aizat.
“Ha, kau tengok apa tu?” sergah Muiz.
Astagfirullah.. kau ni, terkejut aku. Cubalah bagi salam, ini tidak, main terjah je,”
“Haha..aku dah bagi salam tadi, tapi kau buat tak tahu je. So, aku sergahlah.”
“Oh ya ke? Aku tak perasan kot..hehe..”
“Apa yang kau tengok sampai tak perasan aku bagi salam?” soal Muiz kehairanan. Dia mula memerhati sekeliling, mencari-cari apa yang dilihat oleh temannya itu.
“Itu..” jawab Aizat sambil memuncungkan mulutnya ke arah pasangan tadi.
“Mana? Tak nampak pun..takkan kau tengok amoi di hujung sana kot,”
“Ish kau ni, ada pula aku nak tengok amoi-amoi tu. Itulah, pasangan suami isteri yang tengah berehat di hujung sana tu. Nampak tak?”
“Oh.. kenapa dengan mereka? Kau kenal ke?”
“Eh, tak adalah. Aku tak kenal pun.”
“Habis tu…?”
“Aku cuma tertarik dengan mereka. Walaupun dah berumur, masih kuat dan larat lagi panjat Greatwall ni, sambil berpegangan tangan pula tu, romantik habis,” kata Aizat. Matanya masih lagi memandang pasangan yang dimaksudkan. Muiz hanya tersenyum. “Yang kau senyum-senyum ni kenapa? Aku ada buat lawak ke?” soal Aizat tidak puas hati apabila melihat reaksi Muiz.
“Tak ada apa-apalah, saja nak senyum..tak boleh?”
“Iyalah tu. Hmm..kenapa kau lambat? Pak cik dan mak cik tu pun sampai awal daripada kau, ke kau ni memang tak larat?” kata Aizat sambil melepaskan tawanya.
“Eh..tolong sikit ya. Aku masih kuat dan gagah tau. Cuma, semasa di perhentian yang pertama tadi aku berhenti berbual sekejap,”
“Berbual dengan siapa? Kau ada terjumpa dengan orang kampung kita ke?”
“Bukan orang kampung lah. Aku berbual dengan uncle dan auntie yang kau gelar pasangan romantik tu,” kata Muiz. Terlopong Aizat mendengarnya.
“La..kenapalah kau tak bagi tahu daripada tadi,”
“Dah kau tak tanya, aku tak ceritalah..”
“Iyalah..hmm..apa yang kamu semua bualkan. Ceritalah, nak tahu juga,”
“Ceritanya begini……..”
*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *
Aizat termenung panjang di dalam biliknya. Mahu menonton televisyen, tidak ada satu pun rancangan yang menarik hati. Matanya terasa sangat berat, tetapi apabila dia berbaring, matanya tidak pula mahu lena. Muiz sudah keluar sendirian, ingin bertemu teman lama katanya. Muiz ada mengajaknya turut serta, namun dia menolak kerana badannya terasa sangat letih. Mana tidaknya, dia menyambung perjalanannya di Tembok Besar hingga ke perhentian yang keempat, sedangkan Muiz hanya berhenti di perhentian yang kedua, jadi sudah tentu keletihan yang dirasainya dua kali ganda berbanding Muiz.
‘Nak buat apa ni, bosan pula duduk seorang di bilik. Kalau ikut Muiz tadi mesti tak bosan macam ni,’ Aizat bermonolog sendiri. Fikirannya mula melayang-layang entah ke mana. Tiba-tiba dia teringat cerita yang disampaikan oleh Muiz mengenai pasangan suami isteri yang dia kagumi di Greatwall siang tadi.
Uncle tu nama Islamnya Razali bin Abdullah. Mengikut apa yang diceritakan, dia sudah memeluk agama Islam lebih kurang 15 tahun yang lalu. Selepas itu dia mendirikan rumah tangga dengan auntie Fatimah,” cerita Muiz.
“Macam mana dia boleh tertarik mahu memeluk agama Islam? Sebab nak berkahwin dengan auntie Fatimah ke?” Aizat mula membuat andaian.
Wallahua’lam..tetapi aku yakin dia memeluk Islam bukan semata-mata mahu berkahwin kerana dia bertemu dengan auntie Fatimah pun setelah hampir 6 bulan dia bergelar seorang Muslim,”
“Jadi?”
“Aizat..Aizat.. Kadang-kadang sesuatu peristiwa yang berlaku itu tidak memerlukan alasan atau sebab kan? Termasuklah apa yang berlaku kepada uncle Razali. Bukankah hidayah itu milik mutlak Allah. Dia berhak memberikan hidayahNya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dan Dia juga berhak menarik balik hidayahNya itu bila-bila pada masa sahaja.”
“Itu betul, tapi manalah tahu kan, ada kisah di sebalik pengIslaman dia. Kau tak tanya ke?” soal Aizat.
“Tentulah aku ada tanya, susah tau nak jumpa saudara seagama yang ramah macam tu di tempat asing macam ni, takkan aku nak sia-siakan je,” kata Muiz sambil tersenyum.
“Habis tu apa yang uncle tu bagitahu kau? Cepatlah cerita, kau ni saja nak buat aku tertanya-tanya kan?” 
Ketawa kecil Muiz dibuatnya. Memang dia sengaja bercerita lambat-lambat, mahu melihat sejauh mana temannya itu boleh bersabar.
“Oklah.. Pada mulanya memang uncle Razali memang tidak suka dengan agama kita. Tapi lama-kelamaan dia dapat rasa sesuatu yang lain dalam Islam. Kebetulan pula adiknya yang sedang belajar di Indonesia memeluk Islam dan berkahwin dengan penduduk tempatan. Suatu hari semasa berkunjung ke rumah adiknya, dia mendengar alunan ayat suci al-Quran yang dibaca oleh adik iparnya. Dia berasa sangat tenang saat itu, dan entah bagaimana airmatanya boleh mengalir,”
Subhanallah.. Macam kisah yang berlaku kepada Sayidina Umar kan?” Aizat mencelah.
“Betul tu.. itulah salah satu bukti kekuasaan Allah s.w.t.. Apa yang aku tertarik, uncle Razali terus mahu memeluk Islam pada hari itu juga. Selepas bergelar seorang Muslim, uncle Razali pergi mengembara ke merata-rata tempat semata-mata untuk mendalami ajaran Islam. Dan semasa dia menuntu ilmu di sebuah sekolah pondok yang terletak di Kedah, dia telah bertemu dengan auntie Fatimah,”
“Mereka bertemu, mata bertentang mata, hati mula terpikat dan akhirnya berkahwin…,” sambung Aizat tanpa diminta.
“Pandai-pandai sahaja kau sambung cerita aku ni kan?” kata Muiz. Aizat hanya tersengih-sengih mendengar kata Muiz. “Tetapi ceritanya lebih kuranglah macam yang kau cakap tadi. Selepas hampir setahun berguru di Kedah, mereka telah dinikahkan oleh bapa auntie Fatimah sendiri. Selepas itu, uncle Razali meneruskan pengembaraannya mendalami ajaran Islam bersama-sama isteri tercinta. Kalau kau nak tahu, uncle Razali sangat bersungguh-sungguh mahu mendalami Islam sehinggakan dia sanggup pergi berguru ke Mesir. Seingat aku, uncle Razali kata dia menetap di sana hampir tujuh tahun sebelum mengambil keputusan kembali ke China. Dua orang puteranya juga dilahirkan di bumi Mesir itu.”
“Tujuh tahun di Mesir? Subhanallah.. tapi, mereka tiada masalah komunikasi ke?”
Auntie Fatimah tu memang fasih berbahasa arab, jadi tiada masalah komunikasi yang besar antara mereka. Uncle Razali tu pun apa kurangnya, tak sampai setahun di sana dia sudah pandai berbahasa arab. Kalah kita Aizat,” Muiz berseloroh. Sejujurnya, bahasa arabnya memang tidak selancar mana. Nak bercakap pun masih tersangkut-sangkut. Malu juga rasanya dengan uncle Razali.
“Hmm..tiada tentangan keluarga ke? Maksud aku, keluarga uncle tak marah ke bila dia bertukar agama?”
Uncle Razali kata parentsnya dah lama tiada, hanya tinggal dia dua beradik. Dan sekarang kedua-dua mereka sudah memeluk Islam. Anak-anak hasil perkahwinannya yang pertama duhulu pun nampaknya dapat menerima penghijrahan yang dilakukan oleh ayah mereka. Alhamdulillah, segalanya baik-baik sahaja,”
Alhamdulillah.. tak sia-sia kita ditakdirkan bertemu dengan uncle Razali di sini. Sekurang-kurangnya kisah dia boleh dijadikan iktibar buat kita. Jadi, apa yang uncle Razali buat sekarang? Bekerja?” soal Aizat lagi. Ternyata kisah uncle Razali meninggalkan kesan yang mendalam dalam hatinya itu.
“Buat masa sekarang uncle banyak menghabiskan masa di restoran makanan halal yang diusahakan hampir dua tahun bersama isterinya. Dia ada ajak kita pergi makan di restoran dia, kalau tidak silap aku nama restoran tu Malay Food Restaurant. Nasi lemak pun ada tau,”
“Wah..nasi lemak. Dah lama tak makan makanan Melayu. Uish, tak sabar aku nak ke sana,” kata Aizat yang hampir kecur liur mendengar perkataan ‘nasi lemak’.
“Ya, nanti kita pergi. insyaAllah..”
*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *         
Seharian mereka menghabiskan masa bersama keluarga uncle Razali. Layanan yang diberikan sangat mesra sehinggakan mereka tidak berasa berada di negara asing.
“Kita kan saudara seIslam, seperti firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud :"Sesungguhnya orang-orang Mukmin adalah bersaudara",
 jadi tidak salahkan uncle melayan kamu berdua dengan baik. Bukankah Nabi s.a.w juga mengajar kita untuk menghormati tetamu. Jika dibandingkan layanan uncle kepada kamu berdua dengan layanan yang pernah diberikan oleh Rasulullah kepada tetamu baginda, rasanya jauh sekali perbezaannya. Sebagai umat baginda, kita sepatutnya berusaha mencontohi setiap perbuatan baginda, bukankah begitu?” kata uncle Razali. Dia memang seronok benar menerima kehadiran Muiz dan Aizat. Mahu sahaja dia mengajak mereka berdua menginap di situ, namun, apakan daya kerana mereka berdua sudah mahu pulang ke tanah air  petang esok. Tambahan pula, banyak lagi urusan kerja yang perlu mereka bereskan sebelum meninggalkan Tanah Besar China ini.
“Betul cakap uncle itu. Apapun, kami sangat berterima kasih pada uncle sekeluarga kerana memberi layanan yang baik kepada kami,” dialog terakhir sebelum mereka melangkah keluar dari rumah uncle Razali yang terletak di pinggir kota Beijing.
“Sama-sama. Lain kali kalau datang ke mari, jangan lupa singgah di rumah uncle ya,” pesan uncle Razali penuh pengharapan.
“InsyaAllah..,” balas mereka berdua serentak.
*          *          *          *          *          *          *          *          *          *
Kedinginan air-cond di dalam pesawat mulai dirasai. Deruman enjin juga semakin jelas kedengaran. Pesawat mula bergerak sedikit-demi sedikit ke arah landasan menandakan bakal berlepas sedetik dua lagi. Tali pinggang keselamatan juga sudah tersemat kemas, para pramugari dan pramugara bergerak pantas ke hulu dan ke hilir memeriksa keadaan para penumpang.
 Muiz melemparkan pandangannya jauh ke luar tingkap. Dia tersenyum sendirian apabila terkenangkan peristiwa-peristiwa yang berlaku selama tiga minggu dia di China. Mula-mula memang agak bosan kerana perlu berhadapan dengan kerja yang bertimbun-timbun, tetapi syukur Alhamdulillah semuanya semakin baik dari hari ke hari. Peristiwa yang berlaku di saat dia dan Muiz sudah mahu meninggalkan Tanah Besar ini merupakan kenangan yang terindah dan tidak mungkin dapat dilupakan.
Maha Suci Allah, di mana sahaja tempat di muka bumi ini pasti ada bukti keAgungan Allah. Kita memang tidak dapat lari walau seinci pun. Ya Allah, terima kasih atas segala anugerahMu kepadaku. Semoga pengalamanku kali ini dapat mendekatkan aku denganMu.
Pesawat yang mereka naiki mula meluncur laju ke udara. Gegaran dirasai menandakan kuasa enjin pesawat ditingkatkan. Ya, jasad pesawat Cathay Pasific itu telah mulai terbang dengan megahnya di ruang udara.Bangunan-bangunan di bawah kelihatan kecil sekali. Pemandangan hijau pepohonan telah diganti dengan keputihan awan nan suci bersih. Sesuci dan sebersih hati insan yang sentiasa mendamba keredhaan Allah.
‘Ya Robbi, golongkanlah aku dalam golongan yang sentiasa mengharap keredhaanMu, yang sentiasa berusaha memburu cintaMu, yang selalu mengingatiMu dalam setiap denyut nafasku, yang terukir namaMu nan indah di setiap penjuru hatiku. Ya Rahman..jadikanlah aku hamba yang sentiasa takut akan azabMu, yang sentiasa menjauhi laranganMu, yang sentiasa patuh akan ajaranMu. Ya Rahim..tempatkan aku dalam golongan para solihin, para ‘alimin, dan para pencintaMu..Aminn..’ doa Muiz di dalam hati.
Selamat tinggal bumi China. Selamat tinggal uncle Razali. InsyaAllah suatu masa nanti kita akan bertemu kembali. Jika tidak di sini, berdoa saja kita akan dipertemukan di sana kelak..insyaAllah..

‘maka Allah mengilhamkan pada jiwa itu jalan kefasikan dan dan ketakwaan.
Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan sesungguhnya
merugilah orang yang mengotorinya’ ( Surah Asy-Syams, ayat 8-10)

Comments

  1. ..Adaptasi daripada kisah realiti yang dihiasi sedikit rekaan dan imaginasi...

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

[Lirik : Warkah Cinta Berbau Syurga]

Sebuah jiwa terbentang seluas Sahara Tersimpan sejuta rasa cinta dan kecewa Setiap untai kata yang termaktub Sudah menjadi warkah cinta berbau syurga Simpanan batinku hampir terbelah Tidak berhimpun dua cinta dalam satu jiwa Antara iman dan nafsu aku berjuang Meraih mahkota cinta dari syurga Chorus: Biar beribu parut luka menghiris kalbu Hanya keikhlasan cinta menjadi penawar Sekalipun diriku terbuang di mata insan Engkau Maha mengerti kekalnya cinta ku ini Izinkan aku meniti diatas hamparan syurgamu Bila saat ku pergi biarlah cintaku tetap di situ [Selama-lamanya kelembutan   takkan pernah tewas dengan kekerasan] [Ulang Chorus] Cintaku ini... Lagu: Bazli Unic Lirik: Ustaz A.Ubaidillah Alias Studio Rakaman : Unic Terbitan: Al-Kahfi Pictures Sdn.Bhd. Entah kenapa Cik Cahaya suka sangat dengan lirik lagu ini..First time dengar terus jatuh cinta gituu..Lagu ni, pada Cik Cahaya mempunyai makna yang sanga

Bahagiakan Diri Dengan Kebahagiaan Orang Lain

Pernah terjadi tak, Ada satu masa, kita nak ceritakan masalah kita pada seseorang. Nak luahkan perasaan sedih kita. Nak menangis dan meminta nasihat dia. Tapi, belum sempat kita buka mulut, orang tersebut terlebih dahulu menceritakan masalah dia. Terlebih dahulu meluahkan perasaan sedih dan meminta kita menasihati dia. Pernah terjadi tak? Apa tindakan kita ketika itu? Terus meminjamkan telinga untuk mendengar masalah dia,walaupun ketika itu hati kita sendiri sedang terluka,  atau terus berkata "aku pun ada masalah!" dan membiarkan orang itu terus bersendirian menanggung kesedihan? #MUHASABAH# Ketika kita rasa kita lah yang paling sedih, paling terluka, paling lemah, paling sakit..saat itu ALLAH hadirkan orang lain kepada kita, agar kita sedar bahawa ada orang lain yang lebih sakit, lebih terluka, lebih lemah dan lebih sakit daripada kita. Ketika kita rasa kita lah yang paling susah, ALLAH temukan kita dengan orang lain yang lebih susah daripada kita. Mengapa? Kera

~Berakhirnya Semester 5~

Assalamualaikum.. Alhamdulillah.. Final exam dah habis..yahuu!! Bila final exam dah habis, maka dengan ini dengan rasminya telah berakhirlah semester 5 saya.. suke2!!  Dan..semester akan datang, saya dan sahabat-sahabat seperjuangan akan mula melangkah ke alam pekerjaan..Cewahh..Bukan dah start kerja, tapi latihan industri je..Kira berkerja lah juga kan? kan? Disebabkan tempoh latihan industri kami ni terlampau lama, dalam 6 bulan gitu, jadi saya rasa...saya pasti akan merindui kalian-kalian semua..Terutamanya rumate saya yang comel, Cik Shafin, yang baru belajar berblog tuh.. ^_^... Cik Shafin @ Intan..Nana seronok dapat jadi rumate Intan.. and, next sem kita bakal jadi housemate pula..InsyaAllah..Maaf, kalau sepanjang kita duduk sebilik ni, Nana ada sakitkan hati Intan..Minta maaf "grandmother" (kihkihkih). Sepanjang sem 5 ni memang macam-macam kejadian yang berlaku..Daripada yang paling gembira sampailah yang paling menyedihkan..Daripada yang paling mudah