Skip to main content

Kita Tidak Pernah Sendirian

Pernahkah anda rasa hidup bersendirian? Tinggal di rumah seorang diri, makan seorang diri, masak seorang diri, beriadah seorang diri, hatta membeli belah juga seorang diri. Anda bersendirian kerana hidup di perantauan atas tuntutan belajar atau pekerjaan. Anda bersendirian bukan kerana tiada kawan atau teman, apatah lagi saudara mara, tetapi anda tetap tinggal sendirian kerana mereka juga punya keluarga sendiri yang menjadi tuntutan utama dalam hidup mereka.

Hidup sendirian ini bosan. Tiada warna-warni. Tiada tempat untuk berbual dan bersenda. Tiada tempat untuk meluah masalah dan meminta nasihat. Kita hanya dapat berbual dengan rakan-rakan ketika berjumpa di kelas. Kita dapat bergurau sedikit dengan rakan sekerja ketika waktu rehat di pejabat. Apabila pulang ke rumah, hidup kita kembali sepi. Rumah juga kelihatan suram kerana hanya kita yang mengisi ruang itu.

Setiap hari, begitulah rutin kita. Segalanya dilakukan sendirian. Sama ada ketika suka atau duka, ketika senang atau susah, kita tanggung sendiri. Bukan tidak mahu menceritakan masalah kita kepada keluarga di kampung, tetapi bimbang mewujudkan kerisauan di hati kesayangan kita terutama sekali ibu dan ayah. Bukan tidak pernah meluah kepada rakan dan taulan, tetapi mereka seakan tidak mengerti, atau mungkin tidak mahu memahami.

Ya, kita tidak boleh menunding jari kepada orang lain kerana mungkin sahaja masalah kita ini membebankan fikiran mereka. Atau, mungkin juga kita sahaja yang melebih-lebih atas kesunyian yang dilalui dan sibuk bercerita itu dan ini sedangkan pada mereka perkara sedemikian hanyalah perkara kecil. Tidak perlu dibesar-besarkan. Tidak perlu diheboh-hebohkan.

Sunyi. Perasaan itu yang hadir tika ini. Tidak kiralah kita sedang mendengar siaran radio pada volume yang paling tinggi, mahupun sedang mononton rancangan lucu yang mencuit hati, perasaan sunyi itu masih terlekat di hati. Perasaan itu mungkin akan hilang buat seketika, tetapi sedetik kemudian terus kembali menghuni diri. Tidak mustahil situasi ini bakal menghasilkan virus kemurungan jika berterusan dalam tempoh yang lama.

Mereka yang melalui situasi seperti ini juga berkemungkinan menjadi seorang yang pendiam dan suka memendam rasa jika tidak bijak dalam mengawal emosi serta perasaan. Bersendirian menjadikan mereka lebih selesa untuk terus memencilkan diri. Bersendirian menyebabkan mereka lebih gemar mencuba sesuatu yang baru. Bersendirian, bisa menjuruskan seseorang ke lembah kelam atau menaikkan diri ke puncak tertinggi. Bergantung kepada kebijaksanaan sendiri dalam memainkan emosi untuk membina motivasi diri.

Tidak ramai orang yang mampu menjadikan sesuatu yang biasa kepada sesuatu yang luar biasa. Tidak ramai daripada kita yang mahu menukar kelemahan menjadi kekuatan. Begitu juga, tidak ramai insan di luar sana yang ingin membawa keluar kemurungan dan kekecewaan dari diri mereka. 

Benarkah begitu?

Saya yakin, ramai di antara kita mahu membina kebahagiaan, biarpun hidup sendirian. Ramai juga yang mengimpi berdiri di puncak kecemerlangan, meskipun sering direndah-rendahkan orang lain. 

Bukan tidak mahu menolak kesunyian, tetapi mungkin kurang usaha ke arah itu. Bukan tidak pernah mengubat kekecewaan, namun mungkin ubatnya yang kurang mujarab. Bukan tidak berusaha untuk terus bahagia, tetapi kurangnya keyakinan untuk bergerak sendiri.

Berhentilah daripada terus berasa lemah. Berhentilah daripada membiarkan diri terus terkulai longlai. Bantulah diri kita sendiri untuk mengecap kejayaan seperti orang lain. Bantulah diri kita sendiri untuk membina kebahagiaan seperti yang kita impi. Bangkit daripada lena. Pandanglah ke depan, dan teruskan hanyunan langkah kaki kita. Orang lain tidak dapat membantu kita, jika kita sendiri enggan membantu diri sendiri.

Positifkan aura kita. Positifkan fikiran kita.

Optimis!

ALLAH meletakkan kita di dalam sesuatu situasi bukan sekadar suka-suka. Pasti ada hikmah yang tersembunyi. Pasti ada pengajaran yang bakal menjelma nanti.

Bersendirian sebenarnya memberi kita lebih masa untuk terus mengkoreksi diri. Memikirkan diri kita. Memikirkan masa depan kita.

Bersendirian memberi peluang kepada kita untuk terus bermuhasabah. Apakah yang kita kerjakan hari ini? Jalan yang manakah kita pilih saat ini. Di manakah kedudukan kita di sisi ILAHI.

Bersendirian juga menjadikan kita punya lebih waktu untuk beribadah kepada-NYA. Kita boleh berlama-lama ‘berbicara’ dengan-NYA tanpa sebarang gangguan. Ya, mungkin saja jika kita punya rakan yang ramai di rumah, menyebabkan kita terlalu leka berbual dan melengah-lengahkan solat. 

Jika bersendirian, kita akan solat tepat pada masanya. Kita akan mengulang membaca Al-Quran pada setiap waktu, kerana kita tidak punya hiburan lain untuk mengisi hati.

Bersendirian yang membawa kepada ketaatan adalah lebih baik daripada beramai-ramai tetapi menjurus kepada kelekaan.

Apa pun situasi yang sedang kita alami sekarang, boleh membantu kita untuk melonjak diri menjadi insan yang lebih cemerlang, duniawi dan ukhrawi, jika kita dapat memahami maksud tersirat di sebalik setiap kejadian. Hikmah. Semua perkara yang berlaku di dunia ini pasti mempunyai hikmah yang tersembunyi. Terpulang kepada kita untuk melihatnya dari sudut positif atau negatif.

Apabila kita sudah biasa melakukan semua perkara seorang diri, maka sifat berdikari akan mengakar di dalam diri. Selain itu, kita juga dapat mempelajari banyak ilmu baru dan kemahiran-kemahiran lain yang sebelum ini kita tidak pernah peduli.

Sebagai contoh, wanita kebiasaannya kurang mempunyai pengetahuan mengenai kereta berbanding lelaki. Jika ditakdirkan, si wanita tadi perlu bermusafir seorang diri dalam jarak yang jauh, dan juga hidup bersendirian di permusafiran, sudah pasti dia akan mempelajari serba sedikit mengenai kereta.

Pengetahuan asas bagaimana mahu menjaga enjin, bagaimana mahu menukar tayar, hatta cara untuk mengisi angin tayar kereta sekalipun. Dia mempelajari itu semua supaya dia tidak terlalu cemas ketika berdepan dengan masalah itu kelak. Kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.

Percayakah anda, jika saya katakana bahawa ada wanita yang memandu kereta, tetapi masih tidak tahu bagaimana untuk mengisi minyak kereta sendiri? Mengapa keadaan begitu boleh berlaku sedangkan mengisi minyak di stesen minyak merupakan perkara yang amat mudah dilakukan?

Tidak lain, kerana sebelum ini dia sering dibantu dan tidak pernah merasai pengalaman mengisi minyak kereta sendiri. Persekitaran, menjadikan dia tidak berpeluang belajar mengenai perkara asas tersebut.

Maka, beruntunglah kita jika kita sudah biasa hidup berdikari. Berdiri atas kaki sendiri tanpa perlu mengharap pertolongan orang lain setiap masa. Hanya kepada ALLAH satu-satunya tempat kita mengharap dan memohon pertolongan. Tiada ketakutan dalam hati seseorang yang selalu mengingati ALLAH. Tiada kegerunan dalam jiwa seseorang yang sentiasa dekat dengan ALLAH. Tiada kesunyian dalam hidup seseorang yang mencintai ALLAH.

ALLAH adalah segala-galanya. DIA mempunyai jawapan kepada setiap masalah yang kita dihadapi. DIA memberi solusi kepada kita untuk keluar dari kecelaruan dan kekusutan. DIA memberi ketenangan dan kekuatan saat kita keresahan dan ketakutan. DIA, jawapan kepada segala-galanya. 

Jadi, mengapa kita suka mencari yang lain, sedangkan ALLAH yang sentiasa bersama kita sudah bersedia memberi penyelesaiannya?

DIA hanya mahu melihat sama ada kita ini yakin dengan DIA, atau lebih suka berharap kepada manusia semata. ALLAH yang bersifat Maha Penyayang akan memberi bantuan kepada sesiapa sahaja yang berada dalam kesusahan walaupun mereka tidak meminta daripada-NYA, kerana DIA amat kasih kepada kita, amat sayang kepada kita. Namun, kita sendiri yang seakan-akan tidak menyayangi diri sendiri kerana terus membiarkan diri kita jauh daripada-NYA.

Yakinkanlah diri kita sendiri bahawa kita tidak pernah sendirian.

Kita ada ALLAH yang sentiasa bersama kita.
Kita ada malaikat pendamping yang mencatat baik atau buruk amalan kita.
Kita ada ibu bapa yang sentiasa mendoakan kita.
Kita ada keluarga yang menyayangi kita.
Kita ada sahabat yang mengambil berat tentang kita.
Kita punya semua itu.


Yakinlah, kita tidak pernah sendirian!

Moga Allah Redha. Wallahua'lam

Comments

Popular posts from this blog

~Kerana Kita SAHABAT~

Assalamualaikum dan salam sayang buat semua student 3 rd year foodtech, dan juga buat mereka yang bergelar sahabat.. Sahabat kepada insan bernama Nurul Farhana. Hari ini, Selasa, tanggal 27/12/11, jam 6.51pm, cebisan ini dinukilkan khas buat kamu, sahabat saya. Nukilan ini bukannya apa-apa..sekadar suka-suka. Yelah, tadi masa tengah study (konon2nya rajin study), tiba-tiba teringat pada korang semua. Mesti tengah study juga kan? Bagus2..teruskan kerajinan nak study tu ^_^ Emm..pejam celik pejam celik, dah dekat dua tahun setengah kita bersama-sama kan? Susah senang, suka duka, pahit manis, tawa mahupun tangis, telah berjaya kita redahi. Alhamdulillah.. sekarang, tinggal final exam untuk sem ni yang bakal menjelma kurang seminggu dari sekarang. Semoga Allah memberi kemudahan dan ketenangan kepada kita semua untuk menghadapi imtihan dunia ni. Dan, semoga Allah mengurniakan kejayaan yang cemerlang kepada kita semua..Amiinn.. Sedar tak sedar juga, banyak pengalaman yang cik cahaya (g...

[Lirik : Warkah Cinta Berbau Syurga]

Sebuah jiwa terbentang seluas Sahara Tersimpan sejuta rasa cinta dan kecewa Setiap untai kata yang termaktub Sudah menjadi warkah cinta berbau syurga Simpanan batinku hampir terbelah Tidak berhimpun dua cinta dalam satu jiwa Antara iman dan nafsu aku berjuang Meraih mahkota cinta dari syurga Chorus: Biar beribu parut luka menghiris kalbu Hanya keikhlasan cinta menjadi penawar Sekalipun diriku terbuang di mata insan Engkau Maha mengerti kekalnya cinta ku ini Izinkan aku meniti diatas hamparan syurgamu Bila saat ku pergi biarlah cintaku tetap di situ [Selama-lamanya kelembutan   takkan pernah tewas dengan kekerasan] [Ulang Chorus] Cintaku ini... Lagu: Bazli Unic Lirik: Ustaz A.Ubaidillah Alias Studio Rakaman : Unic Terbitan: Al-Kahfi Pictures Sdn.Bhd. Entah kenapa Cik Cahaya suka sangat dengan lirik lagu ini..First time dengar terus jatuh cinta gituu..Lagu ni, pada Cik Cahaya mempunyai makna yang s...

Bahagiakan Diri Dengan Kebahagiaan Orang Lain

Pernah terjadi tak, Ada satu masa, kita nak ceritakan masalah kita pada seseorang. Nak luahkan perasaan sedih kita. Nak menangis dan meminta nasihat dia. Tapi, belum sempat kita buka mulut, orang tersebut terlebih dahulu menceritakan masalah dia. Terlebih dahulu meluahkan perasaan sedih dan meminta kita menasihati dia. Pernah terjadi tak? Apa tindakan kita ketika itu? Terus meminjamkan telinga untuk mendengar masalah dia,walaupun ketika itu hati kita sendiri sedang terluka,  atau terus berkata "aku pun ada masalah!" dan membiarkan orang itu terus bersendirian menanggung kesedihan? #MUHASABAH# Ketika kita rasa kita lah yang paling sedih, paling terluka, paling lemah, paling sakit..saat itu ALLAH hadirkan orang lain kepada kita, agar kita sedar bahawa ada orang lain yang lebih sakit, lebih terluka, lebih lemah dan lebih sakit daripada kita. Ketika kita rasa kita lah yang paling susah, ALLAH temukan kita dengan orang lain yang lebih susah daripada kita. Mengapa? Kera...